KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan Malaysia berjaya memenangi bidaan mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki yang akan berlangsung pada tahun 2023.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) telah memberi hak selaku tuan rumah buat negara untuk rekod penganjuran kali ke-4 selepas edisi 1982, 1989 dan 2009.
Kata Subahan, kepercayaan yang diberikan oleh FIH tidak akan disia-siakan dalam memastikan penganjuran Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 berlangsung dengan sukses.
“Kami sangat gembira apabila FIH menerima bidaan yang dilakukan untuk memastikan Malaysia memegang hak penganjur sekali gus mencipta sejarah menjadi tuan rumah Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki buat kali keempat.
“Meskipun kali terakhir kami menjadi penganjur kejohanan berprestij ini pada edisi 2009, saya optimis KHM selaku badan pengelola akan memastikan penganjuran dua tahun akan datang berlangsung dengan meriah, sekali gus memupuk minat remaja tanah air untuk menceburi arena tanah air,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Subahan mengakui akan segera berbincang dengan ahli lembaga pengarah KHM selain pihak kerajaan (Kementerian Belia dan Sukan) bagi memastikan penganjuran berlangsung dengan lancar.
“Saya harap pada tahun 2023 keadaan akan menjadi normal kembali sekali gus membuka peluang buat penyokong tidak kira dari Malaysia atau luar negara untuk hadir memeriahkan kejohanan itu nanti.
“Kita sudah bersedia dan tidak sabar untuk menyambut bakal pemain-pemain berbakat antarabangsa dari negara-negara elit untuk menunjukkan kemampuan mereka di pentas tertinggi,” katanya.
Pencapaian terbaik skuad remaja The Speedy Tigers pada kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki adalah meraih kedudukan keempat pada edisi 1979, 1982 dan 2013.