ROM – England dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan Ukraine pada aksi suku akhir Euro 2020 yang dijadualkan berlangsung di Stadio Olimpico awal pagi esok.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Ukraine, Andriy Shevchenko melaungkan amaran kepada skuad Three Lions bahawa mereka tidak gentar untuk bertemu pasukan pilihan itu.
Meskipun sedar dengan kemampuan yang dimiliki England, namun Shevchenko percaya skuad kendaliannya juga tidak boleh dipandang rendah kerana mampu melakar kejutan sama seperti ketika menewaskan Sweden sebelum ini.
Justeru, beliau berharap barisan pemainnya terus menunjukkan semangat juang tinggi pada perlawanan itu nanti, sekali gus memastikan tempat ke separuh akhir.
“England adalah pasukan yang hebat kerana jika anda lihat di bangku simpanan, semuanya pemain bintang. Saya yakin pertemuan itu nanti akan jadi satu perlawanan sukar untuk kami.
“Saya saksikan semua perlawanan mereka di peringkat kumpulan sebelum ini. Memang sukar untuk menembusi pintu gol mereka, tetapi ia tidak membuatkan kami gentar,” katanya.
Tambah bekas pemain Chelsea itu lagi, status England sebagai pasukan pilihan sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada pasukannya kerana akan turun tanpa sebarang tekanan pada perlawanan tersebut.
“Saya yakin status kami mampu buatkan kami beraksi dalam keadaan lebih selesa. Selain itu, sokongan padu peminat juga mampu menjadi tonik tambahan buat semua pemain,” tambah beliau.
Sementara itu, pemain pertahanan Ukraine, Oleksandr Zinchenko menggesa rakan-rakan sepasukan agar memberi layanan istimewa buat pemain sayap England, Raheem Sterling memandangkan dia tahu keupayaan yang dimiliki pemain tersebut.
“Sterling mungkin boleh dikatakan antara salah seorang pemain sayap terbaik di dunia kerana England terlalu bergantung kepada kemampuannya sepanjang kejohanan ini.
“Saya percaya barisan pertahanan perlu berada pada tahap terbaik jika mahu menyekat pemain ini (Sterling). Bagaimanapun, saya yakin ia sukar kerana dia berada pada prestasi terbaik ketika ini,” ujarnya. – AGENSI