fbpx

K2

Hiasan warna terang buat rumah ceria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUANG tamu dengan susun atur minimalis membangkitkan suasana tenang kepada pemilik kediaman.

SIAPA tidak kenal dengan akaun instagram @wawalittlehome.

Popular dalam kalangan peminat dekorasi kediaman tanah air terutamanya suri rumah, kotak-kotak yang mempamerkan keindahan susun atur teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor sering menjadi sumber inspirasi umum dalam menata rias kediaman masing-masing.

Susun atur dan padanan warna yang dipilih bagi menyerikan keseluruhan ruang kediaman berkeluasan kira-kira 140 meter persegi ini begitu manis dan versatil sehingga mampu membangkitkan suasana ceria dan tenang pada sesiapa sahaja.
Pendek kata, sekali pandang, pasti jatuh cinta.

Akui pemiliknya, Nor Salwati Che Harun, akuan @wawalittlehome yang dibuka pada tahun 2018 itu bertujuan untuk berkongsi hasil dekorasi dan susun atur rumah bersama suami tercinta, Mohd. Arrazzaq Zahari selain dijadikan sebagai platform bertukar pendapat bersama rakan-rakan instagram yang ada minat sama.

Biarpun dilihat pakar dalam hal-hal berkaitan dekorasi rumah, namun wanita yang mesra disapa Wawa ini berkata, sebelum ini dia bukanlah seorang yang mempunyai ilmu dalam bidang tersebut.

“Enam tahun lalu ketika baru berpindah ke kediaman ini, saya langsung tidak mempunyai ilmu atau pengalaman berkaitan dekorasi dan susun atur kediaman.

“Saya tidak mempunyai konsep khusus untuk menghias rumah.

“Kebetulan saya suka warna putih dan siapa sangka, ia mempengaruhi tema kediaman kerana kebanyakan perabot menggunakan rona itu,” katanya.

Kongsi Nor Salwati, minatnya dalam dekorasi mula bercambah sekitar 2018. Lantaran, ibu kepada dua cahaya mata itu mula ‘menggali’ ilmu berkaitan dekorasi serta susun atur kediaman.

Ketika mencari idea berkaitan dekorasi menerusi bahan bacaan, dia mula menyedari minatnya lebih menjurus kepada kediaman berkonsepkan Scandinavian.

RONA putih dan natural yang diterapkan pada sudut ruang makan tampak menyerlah dengan selitan pokok artifisial rona hijau.

“Reka bentuk Scandinavian menekankan konsep ruang yang terang, terbuka dan minimalis. Selain itu, warna natural seperti putih dan warna kayu dengan tambahan sedikit warna terang menghidupkan suasana ruang.

“Bagaimanapun, bagi menambah sokongan kepada elemen semula jadi, material utama seperti perabot, lantai dan barang hiasan banyak menggunakan material berasaskan kayu,” ujarnya.

Sesuai dengan konsep Scandinavian, Wawa memilih rona-rona cerah seperti putih, beige, hitam dan warna kayu untuk menyerikan keseluruhan ruang.

Tidak mahu ruang kelihatan mendatar, Wawa menggabungkannya dengan warna terang atau pastel seperti kelabu, merah jambu dan hijau firus untuk menghidupkan tema tersebut.

Begitupun tambah Wawa, kebanyakan warna pop-up yang digunakan untuk melengkapkan warna putih di sesuatu ruang ialah merah jambu.Ini memandangkan ia merupakan warna kegemarannya.

Menurut Wawa lagi, dekorasi di setiap ruang dalam kediamannya dibuat secara berperingkat yang mana dia akan fokus dan menyelesaikan dekorasi di satu-satu ruang sebelum beralih kepada ruang lain.

“Saya mengambil masa agak lama untuk mencari idea yang sesuai. Bagi menyiapkan dekorasi dan susun atur di sesuatu ruang, biasanya saya bergantung kepada kedudukan kewangan dan juga idea.

“Sehingga kini, hampir kesemua ruang di rumah ini selesai dihias melainkan bilik tidur anak lelaki saya dan porch rumah.

“Bagi saya, dalam dekorasi kita tidak boleh tergesa-gesa kerana bimbang akan melakukan keputusan salah,” tambahnya.

Cerita Wawa lagi, kebanyakan idea dekorasi diperolehnya daripada Google, Pinterest dan media sosial.

PALITAN rona merah jambu pada ruang belajar anak mewujudkan suasana ceria dan ini membangkitkan mood untuk mengulang kaji pelajaran.

Begitupun akuinya, dia kerap membaca blog dan melihat idea susun atur kediaman dari luar negara.

“Saya sangat suka melihat cara susun atur mereka. Jadi, saya cuba mengikutinya setakat termampu. Bermula dengan susun atur, perlahan-lahan saya melihat idea-idea dekorasi dan hiasan dalaman lain.

“Kadangkala, ada idea dekorasi cantik dalam majalah atau gambar di media sosial, tetapi tidak semua sesuai dengan konsep rumah kita. Semuanya banyak bergantung kepada ruang, warna dan kebolehupayaan individu memperoleh perabot atau barang hiasan,” terangnya.

Menurut Wawa, dia mahukan keluarganya sentiasa gembira ketika berada di rumah memandangkan dekorasi yang ditampilkan itu sebahagian daripada terapi mata untuk mereka sekeluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI