RANAU – Penduduk sekitar pekan Ranau digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki warga asing di kawasan semak berhampiran kawasan pasar malam semalam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, lelaki berkenaan dipercayai dibunuh berikutan terdapat kesan kecederaan pada mayat.
Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala dan badan dipercayai ekoran dipukul dengan objek tumpul.
“Mangsa adalah seorang warganegara Filipina berumur 30-an dan bekerja sebagai buruh kasar.
“Lelaki terbabit dipercayai dibunuh antara pukul 11.30 pagi sehingga 1 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Simiun menyatakan siasatan juga mendapati kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada kejadian pergaduhan yang bermotifkan cemburu.
Beliau berkata, mengikut keterangan ahli keluarga mangsa, lelaki terbabit keluar bertemu dengan seorang wanita yang dikenali suspek.
“Suspek juga dikenalpasti sebagai seorang warga asing dan dipercayai sudah melarikan diri selepas pergaduhan terbabit.
“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Simiun meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – K! ONLINE