SPIELBERG – Pelumba pasukan AlphaTauri, Pierre Gasly mengakui hairan mengapa pegawai perlumbaan Formula Satu (F1) tidak menyiasat insiden antara dia dan pemandu Ferrari, Charles Leclerc pada Grand Prix (GP) Styria minggu lalu.
Pelumba Perancis itu terpaksa menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama pada aksi di Red Bull Ring selepas jenteranya dan Leclerc terlibat dalam insiden pelanggaran.
Sebelum insiden berkenaan berlaku, Leclerc dilihat menghampiri Gasly pada selekoh pertama sebelum kedua-dua jentera bersentuhan, sekali gus mengakibatkan kerosakan pada jentera AlphaTauri.
“Sebenarnya saya tidak kisah mengenai insiden itu kerana ia sudah pun berlalu tetapi saya ingin menyuarakan rasa terkejut mengapa ia tidak disiasat pegawai perlumbaan.
“Memang ia bukan satu perbuatan yang sengaja tetapi ia memberi kesan terhadap perlumbaan saya. Sepatutnya ia perlu disiasat kerana menganggu perlumbaan orang lain,” kata pelumba Perancis itu.
Pada masa sama, dia turut menjadikan insiden pelumba Mercedes AMG Petronas, Valtteri Bottas yang dikenakan penalti selepas jenteranya hilang kawalan di laluan pit meskipun tidak mengganggu sesiapa.
“Saya juga hairan mengapa Valtteri dikenakan penalti tiga petak ke belakang sedangkan dia tidak mengganggu sesiapa pun. Jenteranya hanya hilang kawalan dan hanya melibatkan dia seorang sahaja.
“Sudah tentu saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan bersama pegawai perlumbaan kerana insiden tersebut sudah menjejaskan kedudukan saya dalam perlumbaan,” ujarnya. – AGENSI