fbpx

Federer jadi pemain paling tua mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Federer berjaya menempah slot ke pusingan ketiga pada saingan kali ini apabila berjaya menundukkan Gasquet awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Bekas pemain No. 1 dunia, Roger Federer meneruskan momentum cemerlang apabila menjadi pemain tertua dalam tempoh 46 tahun mara ke pusingan ketiga Kejuaraan Wimbledon selepas menewaskan Richard Gasquet awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, Federer, 39, yang diletakkan selaku pilihan keenam dalam kejohanan kali ini tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan straight-set 7-6, 6-1, 6-4 dalam tempoh satu jam 51 minit.

Kata Federer, corak permai­nan Gasquet tidak banyak berbeza sekali gus memudahkannya merencana strategi dalam usaha merekodkan kemenangan ke-19 dalam 21 pertemuan menentang jaguh kelahiran Perancis itu.

“Saya sangat kenal corak permainan Gasquet kerana kami telah bertemu banyak kali sepanjang karier dan secara jujur, saya sentiasa teruja apabila diundi bertemu dengannya ke­rana cabaran yang diberikan ada kalanya agak sengit.

“Ia terbukti pada aksi kali ini apabila dia berjaya memberi tentangan yang cukup hebat khususnya pada set pertama. Namun, saya akui saya beraksi de­ngan lebih baik dan cukup teruja untuk mara ke pusingan ketiga,” katanya.

Keputusan itu juga menyaksikan Federer mencatat sejarah apabila menjadi pemain tertua ke pusingan ketiga selepas pemain Australia, Ken Rosewall yang melakukannya pada usia 40 tahun untuk saingan edisi 1975.

Mengulas lanjut, pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali itu berharap dapat memberikan saingan sengit apabila dijadualkan bertemu dengan wakil Britain, Cameron Norrie yang juga pilihan ke-29 pada aksi tengah malam ini.

“Saya pasti penyokong sudah tentu akan memberi sorakan padu buat Norrie selaku wakil tuan rumah dan jika berlaku sebaliknya, mungkin kerana saya sentiasa memberikan yang terbaik sepanjang lebih 20 tahun beraksi di Wimbledon ini,” katanya.

Sementara itu, pemain pilihan kedua, Daniil Medvedev turut menempah tiket ke pusingan ketiga selepas menyingkirkan pemain muda dari Sepanyol, Carlos Alcaraz dengan keputusan 6-4, 6-1, 6-2 dalam tempoh satu jam 34 minit.

“Saya sangat teruja berdepan Alcaraz yang saya anggap memiliki masa depan cerah tetapi mungkin nasib serta kekurangan pengalaman menyaksikan dia tewas pada aksi kali ini,” kata Medvedev. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN