BENTONG – Meskipun kes Covid-19 masih terus meningkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pihak kilang dlihat masih terus melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila beroperasi dengan jumlah pekerja melebihi 60 peratus.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam operasi dilakukan semalam dua daripada tiga buah kilang yang diperiksa didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan beroperasi melebihi 60 peratus pekerja.
“Kedua-dua syarikat tersebut dikompaun masing-masing sebanyak RM10,000 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB).
“Selain itu seramai sembilan pekerja warga tempatan dikompaun masing-masing sebanyak RM1,500 kerana tidak mengimbas aplikasi MySejahtera manakala seramai 10 pekerja warga asing ditahan kerana tidak mengimbas MySejahtera dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zaiham berkata, operasi berkenaan dilakukan bagi memperkasakan penguatkuasaan pematuhan SOP di kilang yang menjurus kepada kilang yang beroperasi tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan tidak mengikut SOP ditetapkan oleh MKN.
Katanya, pihak polis akan sentiasa melakukan operasi pematuhan SOP dengan kolaborasi bersama agensi-agensi lain yang berkaitan dari semasa ke semasa.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bertentangan dengan SOP boleh disalurkan ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong ditalian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929