LONDON – Pemain bukan pilihan dari Romania, Sorana Cirstea mencipta kejutan sensasi apabila menyingkirkan bekas pemain No. 1 dunia, Victoria Azarenka untuk melangkah ke pusingan ketiga Kejuaraan Wimbledon dengan kemenangan 7-6, 3-6, 6-4 awal pagi semalam.
Kata Cirstea, keputusan yang diraih cukup luar biasa memandangkan rekodnya ketika berdepan Azarenka yang diletakkan selaku pilihan ke-12 kejohanan tidak begitu baik apabila tewas pada semua perlawanan.
“Secara peribadi, ini adalah perlawanan epik yang saya berjaya tampilkan dan pujian juga wajar diberikan kepada Azarenka kerana memberikan persembahan yang cukup sengit apabila kami tidak melakukan kesilapan mudah.
“Corak permainan Azarenka tidak banyak berubah apabila lebih mementingkan taktikal agresif dan saya perlu bijak membalas setiap pukulan yang dilakukannya. Tidak keterlaluan untuk saya katakan mungkin stamina dan mentaliti saya lebih baik pada pertemuan kali ini.
“Ia terbukti apabila saya berjaya mendahului 3-1 pada set penentuan yang saya percaya menjadi titik permulaan bahawa kemenangan ke atas Azarenka tidak mustahil untuk dilakukan,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
Dalam perkembangan sama, pemain No. 1 dunia, Ashleigh Barty turut berjaya menempah tiket ke pusingan ketiga selepas menafikan cabaran wakil Rusia, Anna Blinkova dengan keputusan straight-set 6-4, 6-3 awal pagi semalam.
“Secara jujur, saya tidak berpuas hati dengan prestasi peribadi kerana banyak kesilapan dan ruang tersebut perlu diperbaiki sekiranya berhasrat untuk melangkah jauh pada kejohanan ini khususnya pada set pertama.
“Antara kelemahan ketara yang saya dapat lihat adalah pukulan servis dan itulah penekanan yang perlu saya beri tumpuan pada sesi latihan sebelum mengharungi pusingan seterusnya nanti,” katanya. – AGENSI