LIAONING, CHINA – Sebuah akademi polis di China akan melelong 54 ekor anjing polis terlatih kerana haiwan itu dikatakan terlalu jinak untuk berkhidmat dalam tugas penguatkuasaan undang-undang, lapor laman berita United Press International semalam.
Universiti Polis China yang terletak wilayah Liaoning mengumumkan bahawa anjing jenis German Sherpherd, Dutch Sherperd dan malinois Belgium itu akan dilelong pada 7 Julai ini.
Semua haiwan itu didapati tidak layak untuk meneruskan latihan sebagai anjing polis atas pelbagai sebab termasuk mempunyai personaliti pemalu, kelemahan fizikal, kegagalan untuk mematuhi arahan dan tidak menggigit ketika diarah.
Setiap anjing itu akan dilelong pada harga bermula sekitar AS$30 (RM125).
Pembeli perlu menandatangani surat perjanjian bagi mematuhi peraturan pemerintah dan memelihara anjing-anjing tersebut sebaik mungkin.
Mereka juga dilarang menjual anjing-anjing itu atau menyerahkannya kepada pemilik baharu.
“Anjing-anjing itu bukanlah anjing yang ‘disingkirkan’.
“Ia tidak mencapai tahap untuk menjadi anjing polis,” kata seorang pegawai polis di Biro Polis Jiangning.
Pengumuman mengenai lelongan anjing tersebut mendapat perhatian netizen dengan hantaran mengenainya di platform media sosial Weibo mencatat 160 juta tontonan. – Agensi