SAINT PETERSBURG, Rusia –Pasukan Sepanyol bersedia untuk mengharungi sebarang kemungkinan menjelang pertemuan menentang ‘pembunuh gergasi’, Switzerland pada aksi suku akhir Euro 2020 di Stadium St. Petersburg tengah malam ini.
Sebagai rekod, pasukan Switzerland berjaya mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menyingkirkan juara Piala Dunia 2018, Perancis manakala skuad La Roja pula terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Croatia 5-3 pada pusingan 16 terbaik baru-baru ini.
Pemain tengah Sepanyol, Koke mengakui saingan Euro 2020 menjadi kejohanan bola sepak paling ‘gila’ ketika ini dengan banyak keputusan luar jangkaan yang dicatatkan oleh pasukan-pasukan bertanding.
“Kami anggap apa yang Switzerland lakukan cukup luar biasa kerana siapa yang boleh menjangka mereka berupaya menyingkirkan pasukan Perancis yang memiliki ramai pemain berkualiti termasuk berjaya mendahului saingan.
“Situasi sama berlaku ketika kami mendahului Croatia dan pasukan lawan berjaya membuat kebangkitan. Namun, nasib menyebelahi kami apabila dapat menempah tiket ke pusingan suku akhir.
“Kini, saya harap rakan-rakan sepasukan kekal fokus untuk memberikan seratus peratus pada aksi bertemu dengan Switzerland kerana mereka memiliki semangat pantang menyerah selagi wisel penamat belum ditiupkan,” kata pemain pasukan Atletico Madrid itu.
Sementara itu, ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique masih mengekalkan pendiriannya untuk menggunakan taktikal tiki-taka kerana percaya itulah yang terbaik selepas menyaksikan anak-anak buahnya meledak 10 gol pada dua perlawanan terakhir.
“Jika kami perlu meraih keputusan 5-3 ketika menentang Switzerland nanti, kami akan terima dengan terbuka tetapi apa yang pasti, saya mahu pemain kekal percaya dengan corak taktikal pasukan walau apa sahaja yang berlaku.
“Justeru, hanya corak permainan tiki-taka yang menjadi penekanan pasukan dan jika mereka mempamerkan momentum yang sama, saya optimis kami boleh melangkah jauh,” kata Enrique.
Dalam perkembangan sama, penjaga gol Sepanyol, Unai Simon turut bersedia untuk menjaga gawang sebaik mungkin bagi memastikan harapan penyokong untuk melihat pasukan menamatkan kemarau kejuaraan Euro yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2012.
“Musuh sebenar adalah diri kami sendiri dan bukan pasukan lawan. Jika kami meletakkankeyakinan pada diri sendiri, saya percaya kami miliki kemampuan untuk menang aksi ini tetapi peluang kedua-dua pasukan di atas kertas adalah 50-50,” katanya. – AGENSI