PASIR MAS – Polis merampas sebanyak 1,400 biji pil kuda selepas menahan seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Parit di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis menjalankan serbuan di rumah itu pada pukul 8.30 malam selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di situ.
Katanya, semasa serbuan dijalankan, polis terlebih dahulu menahan suspek yang berusia 39 tahun sebelum memeriksa beg silang miliknya.
“Pemeriksaan di dalam beg itu telah menjumpai kesemua dadah jenis pil kuda yang bernilai RM14,000.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkait kes dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, suspek mengaku kesemua pil kuda itu miliknya dan polis kini sedang mengesan tokan yang membekalkan dadah itu kepada lelaki tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929