PETALING JAYA – Pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur mendapat reaksi pelbagai daripada orang ramai.
Rata-rata mereka menyokong keputusan itu dan menaruh harapan agar kes positif di dua negeri itu yang semakin membimbangkan akan berlaku penurunan ketara.
Malah, tidak kurang juga yang menyifatkan tindakan berkenaan sepatutnya dilakukan lebih awal sekali gus mengekang penularan wabak berkenaan.
Sehingga semalam, Selangor mencatatkan 2,885 individu positif, manakala Kuala Lumpur sebanyak 988 kes.
Seorang penduduk di Balakong, Mohd. Fauzan Ismail, 41, berkata, dia menyokong penuh keputusan Selangor dikenakan PKPD memandangkan kes setiap hari melebihi 2,000, namun berasa kurang yakin tentang pematuhannya dalam kalangan orang ramai.
Menurutnya, total lockdown yang dilaksanakan sebelum ini juga menyaksikan orang ramai masih bebas ke sana sini tanpa sebarang rasa bimbang.
Katanya, jika situasi sama berlaku, maka PKPD juga tidak akan berkesan untuk menurunkan kadar jangkitan Covid-19.
“Saya percaya ini (PKPD) yang terbaik dan berharap supaya penduduk di negeri ini dan Kuala Lumpur dapat mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya semalam.
Bagi Tahir Sengor, 50, sekatan yang dikenakan susulan PKPD sesuatu yang masih boleh diterima dan tidak terlalu menekan orang ramai kerana kedai makan dan runcit masih dibuka.
“Namun, keadaan mungkin agak sukar buat golongan peniaga. Mereka baru sahaja beberapa hari dapat berniaga sehingga pukul 10 malam dan kini terpaksa kembali tutup pukul 8 malam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tahir berkata, ramai yang mempersoalkan mengapa baru sekarang PKPD dikuatkuasakan selepas jumlah kes menghampiri angka 7,000.
Ujarnya, langkah berkenaan sepatutnya lebih awal diputuskan kerana Selangor antara negeri paling banyak kes jangkitan Covid-19.
Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Akmam, 42, memberitahu, dia khuatir mengenai anaknya seorang autisme.
Jelasnya, anaknya perlu dibawa keluar rumah untuk mengurangkan tantrum.
“Bila difikirkan payah juga untuk menempuhi tempoh beberapa minggu ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang remiser, Mohd. Al Adzha Johar berkata, ramai pihak bakal berdepan kesulitan kerana hanya seorang dibenarkan keluar rumah seterusnya menganggu urusan termasuk membeli barang.
“Tindakan lambat diambil. Patut dua bulan lepas dah buat. Luar negara ada yang dah kembali stabil,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Taufiq Manap, 42, memberitahu, dia percaya sektor perkilangan perlu ditutup sepenuhnya kerana ia bakal menjejaskan keberkesanan PKPD yang dilakukan di Selangor.
“Selangor kawasan perindustrian dan banyak kilang. Kita patut buat seperti PKP 1.0 dan sebab itu saya kurang yakin keberkesanan PKPD ini,” katanya.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929