IPOH – Inisiatif mengibarkan bendera putih sebagai langkah alternatif meminta bantuan bagaimanapun berakhir dengan insiden lucu apabila bendera yang dikibarkan rupa-rupanya lain.
Insiden tersebut berlaku di Taman Chempaka di sini semalam apabila pasukan sukarelawan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timur bergegas sebaik dimaklumkan ada rumah penduduk di situ mengibarkan bendera putih.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, yang berkongsi cerita ini di dalam laman Facebook rasmi beliau berkata, pihaknya menerima maklumat tentang perkara tersebut (bendera putih) daripada orang awam lalu menghantar petugas ke lokasi dimaksudkan.
“Kita menerima ada penduduk kibarkan bendera putih lalu menghantar tim diketuai Jenny Choy Keakart Wong segera untuk membantu.
“Sebaik tiba, rupa-rupanya penyampai maklumat tadi tersilap melihat bendera Palestin yang disangkakan bendera putih. Ini kali tersilap,” ceritanya.
Kemungkinan warna putih pada bahagian tengah bendera tersebut lebih menonjol menyebabkan pemberi maklumat itu salah sangka.
Bagaimana pun, Kah Woh mengucapkan terima kasih atas maklumat tersebut kerana secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan orang ramai untuk sama-sama membantu.
“Sesuatu (cerita) yang menghiburkan kita pagi ini. Jangan serik untuk menghubungi kami jika anda atau rakan kenalan perlukan bantuan,” ujar Kah Woh.
Perkongsian Kah Woh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ini mendapat reaksi positif pelayar-pelayar apabila ramai yang memuji respons diberikan terhadap aduan tersebut walaupun berakhir dengan insiden lucu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929