PETALING JAYA – Tindakan segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme di kawasan perumahan Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor membangkitkan amarah penduduk yang tinggal di kawasan perumahan tersebut dan tular di laman Twitter sejak semalam.
Menerusi gambar yang dimuat naik oleh pengguna bernama @fendymojoo, sebuah kenderaan dan beberapa papan tanda rosak akibat disembur dengan cat oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Menurut pengguna itu, walaupun penat dan marah dengan situasi negara pada waktu ini, vandalisme bukanlah satu jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Rata-rata pengguna di laman Twitter turut berang dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mencadangankan cara yang lain selain melakukan vandalisme terhadap harta benda awam.
Seorang pengguna bernama @Jefrihad berkata, dia tidak boleh menerima perbuatan tersebut kerana masih ada cara yang sesuai untuk meluahkan ketidakpuasan hati dari melakukan vandalisme.
“Saya tidak terima perbuatan ini tetapi ia sudah jelas bahawa rakyat sudah penat hadapi masalah ini. Mereka mahu didengari. Semoga kita guna cara dan saluran yang betul untuk melakukan perubahan,” ciap pengguna itu.
Seorang lagi pengguna bernama @sabthealien pula mencadangkan agar mereka yang melakukan vandalisme itu menggunakan sepanduk untuk menulis ketidakpuasan hati mereka.
“Saya tahu mereka sedang marah, tetapi tulislah di sepanduk dan gantunglah di kawasan awam. Mesej sampai, harta awam pun tidak rosak,” cadangnya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929