JAKARTA – Sebuah hutan di Jayapura, wilayah Papua dianggap suci oleh masyarakat tempatan dan dibuka hanya kepada wanita sejak beberapa generasi lalu, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Hutan itu merupakan tempat untuk wanita berkongsi cerita sambil berbogel dan mencari kepah.
Lelaki adalah dilarang sama sekali memasuki hutan itu dan boleh didenda £50 (RM287) jika ingkar.
“Sejak sekian lama, hutan ini merupakan hutan untuk wanita sahaja, malah ia wujud sebelum saya dilahirkan lagi dan peraturannya tetap sama.
“Untuk memasuki hutan ini, anda (wanita) perlu berbogel dan tidak dibenarkan memakai pakaian langsung.
“Sekiranya lelaki didapati mengintai, dia akan dikenakan denda dan dihadapkan ke pengadilan tempatan,” kata penduduk kampung Enggros, Adriana Meraudje.
Seorang lagi penduduk setempat, Ari Rumboyrusi berkata, adalah menjadi tradisi wanita memasuki hutan itu untuk berkongsi cerita sambil mengutip kepah.
“Apabila air laut surut, kami akan pergi ke hutan dengan menaiki bot.
“Setibanya di sana, kami bebas berkongsi cerita dengan wanita yang lebih tua dan mengutip kepah,” katanya.
Kepah yang dikutip kemudian akan dijual.
Bagaimanapun, hutan seluas lapan hektar itu bukan sahaja diancam pencerobohan kaum lelaki, malah turut dipenuhi sampah sarap dari pekan berdekatan.
Ketua Kampung Enggros, Origenes Meraudje berkata, mereka lebih banyak menjumpai plastik berbanding kerang.
“Sebelum ini, kami hanya memerlukan masa setengah hari untuk memenuhkan bot dengan kepah dan kerangan lain, namun kini, kami perlu bekerja seharian dan masih tidak dapat memenuhkan separuh bot dengan kepah,” katanya. –Agensi