fbpx

La Nati mahu terus ‘bunuh’ gergasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWITZERLAND hanya memiliki rekod satu kemenangan sahaja ke atas Sepanyol dalam 22 pertemuan, namun kejayaan membenam Perancis menjadi pembakar semangat mereka. – AFP

SAINT PETERSBURG, Rusia – Selepas menyingkirkan Perancis pada saingan Euro 2020, Switzerland kini memasang hajat untuk menghantar Sepanyol pulang menjelang aksi suku akhir di Stadium Krestovsky tengah malam ini.

Meskipun sedar ia bukanlah tugas mudah, namun skuad kendalian Vladimir Petkovic itu masih berbekal semangat tinggi hasil kemenangan ke atas Perancis yang dilabelkan sebagai pasukan pilihan kali ini.

Bagaimanapun, jika dilihat pada pertemuan sebelum ini, Switzerland tidaklah memiliki rekod yang baik ke atas Sepanyol apabila sekadar mencatat satu kemenangan dalam 22 perlawanan.

Kata Petkovic, beliau akan cuba memastikan skuad kendaliannya mengulangi aksi yang ditampilkan ketika bertemu Perancis sebelum ini kerana percaya, menerusi cara itu sahaja mereka boleh layak ke pusingan berikutnya.

“Aksi menentang Perancis adalah satu perlawanan yang sangat emosi untuk kami kerana langsung tidak menjangka kami boleh tewaskan pasukan besar yang dibarisi pemain-pemain bintang.

“Saya fikir itu adalah aksi terbaik yang pernah ditampilkan Switzerland sejak saya menjadi jurulatih pasukan ini. Semua pemain menampilkan aksi lebih 100 peratus.

“Sekarang kami sudah berada di suku akhir dan akan bertemu Sepanyol, jadi kami perlukan aksi seperti itu lagi jika mahu melangkah ke separuh akhir. Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk lakukannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, kapten skuad La Nati, Granit Xhaka percaya mereka berhak untuk terus memasang impian melangkah lebih jauh pada kejohanan kali ini berdasarkan semangat juang yang ditampilkan semua pemain.

Selepas melakar sejarah dengan menewaskan Perancis, pemain tengah Arsenal itu menggesa rakan sepasukan supaya memberikan segala-galanya pada aksi bertemu Sepanyol bagi menghadiahkan satu lagi kemenangan buat penyokong mereka.

“Semua rakyat patut berasa bangga dengan pencapaian pasukan pada Euro kali ini kerana kami sudah mencipta sejarah ketika bertemu Perancis. Saya gembira untuk bersama skuad ini.

“Kami tidak boleh berhenti bermimpi kerana masih berada dalam saingan. Saya yakin kami perlukan semangat sebelum ini jika mahu cipta sejarah pada aksi suku akhir nanti,” kata Xhaka.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI