KULAI – Sebuah kilang menghasilkan komponen elektronik di Kawasan Perindustrian Senai di sini dikenakan kompaun RM10,000 serta diberi notis tutup kerana kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kilang berkenaan didapati melanggar SOP dengan gagal memastikan penjarakan fizikal antara pekerja khususnya di bahagian pengeluaran.
Katanya, notis tutup yang dikeluarkan adalah bagi tempoh tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Julai depan.
“Bermula hari ini, kita akan melaksanakan operasi sempena Ops Patuh bagi memastikan pihak majikan mematuhi SOP ditetapkan yang telah membenarkan mereka kekal beroperasi dalam tempoh ini.
“Operasi yang dijalankan hari ini mendapati sebuah premis kilang gagal mematuhi SOP dengan tiada penjarakan fizikal.
“Selain dikenakan kompaun RM10,000, notis tutup kilang juga dibuat bagi memastikan mereka menyemak semula persediaan untuk memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksana dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti serbuan yang dijalankan terhadap kilang berkenaan dan sebuah hostel penempatan pekerja asing, di sini hari ini.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Kulai dan Jabatan Tenaga Kerja Johor dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor.
Notis kompaun dan perintah tutup terhadap kilang berkenaan dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tambah Beng Yeow, pihaknya akan terus melakukan operasi bagi memastikan masyarakat khususnya golongan majikan kekal mematuhi SOP ditetapkan dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929