PETALING JAYA – Selepas mahu ‘membuang’ tiga negeri dari peta Semenanjung Malaysia, orang ramai mula ‘berseloroh’ untuk berpindah ke negeri paling utara iaitu Perlis.
Ia susulan negeri itu kini mencatatkan sifar kes Covid-19 hari ini dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga sudah mula dilonggarkan.
Terbaharu, dalam laporan media memaklumkan, pihak berkuasa sudah membenarkan solat berjemaah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid di seluruh negeri itu bermula semalam.
Keputusan itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini yang semakin terkawal serta pematuhan SOP oleh rakyat.
Tinjauan Kosmo! di laman sosial hari ini mendapati, orang ramai mula ‘berhajat’ berpindah ke negeri tersebut kerana mereka mendakwa SOP PKP mungkin akan dilonggarkan lagi dan tidak mahu lebih lama terperangkap di Lembah Klang selepas mereka akan mula ‘dikurung’ esok.
Menurut seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Nazri Salleh, dia mahu berpindah ke Perlis kerana di Lembah Klang kes tidak menunjukkan trend penurunan walaupun sudah lama PKP.
“Rasa-rasanya mahu berpindah ke negeri lain sahaja, kes Covid-19 di Selangor tak turun-turun menyebabkan pergerakan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan.
“Rasanya ‘forever’ PKP di Selangor, nak bergerak ke mana-mana, nak balik kampung mungkin tiga tahun lagi. Jom pindah ke Perlis,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook dikenali sebagai Nurul Khairiah Yusof turut menyuarakan hasrat sama untuk berpindah dan mencari kerja di negeri terbabit.
“Ada kerja kosong tak kat Perlis, malas dah nak duduk KL,” ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929