HANYA wanita yang pernah mengalami situasi sukar selepas disahkan menghidap kanser payudara mengerti penderitaan dialami.
Untuk menerima hakikat bahawa diri berhadapan dengan penyakit yang menjadi musuh nombor satu wanita itu bukanlah sesuatu yang mudah. Hanya mereka yang cekal dan tabah boleh mengharunginya.
Itulah yang berlaku kepada Siti Nuraini Ahmad Loh, 34, yang merupakan salah seorang wanita yang kini menjadi pejuang kanser payudara setelah dirinya didiagnosis dengan penyakit itu pada tahun 2017.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka pada usia 30 tahun ketika itu terpaksa berhadapan dengan situasi sukar seolah-olah dunia sudah berakhir.
“Ketika itu saya disahkan menghidap kanser payu dara tahap dua.
“Bermacam-macam perasaan bermain di jiwa seperti sedih, tertekan dan sebagainya.
Bagi mereka yang pernah melalui situasi sama sahaja yang memahaminya,” kata Siti Nuraini yang lebih mesra disapa Ain.
Ain menjelaskan, kini kanser payudara yang dihidapinya berada pada tahap empat dan dia juga telah menjalani beberapa rawatan kemoterapi dan radioterapi serta lain-lain lagi.
Walaupun dia kini masih ‘bertarung’ dengan kanser tersebut, itu bukan satu alasan baginya menjadi seorang wanita yang lemah.
Ain menguatkan semangat untuk membantu insan senasib dengannya agar bersikap positif untuk mengharungi kehidupan seolah-olah mereka sihat seperti insan lain.
“Biarpun ia bukan mudah untuk dilakukan, tetapi jangan tunjuk kita sakit selagi kita ada daya. Kita kena lawan sakit ini,” katanya.
Untuk itu, Ain melibatkan diri dalam kerja-kerja amal melalui pertubuhan Cancer Survivors Malaysia yang banyak membantu pesakit kanser sepertinya keluar daripada kehidupan yang murung dan ‘kelam’.
Melalui pertubuhan itu, dia dan rakan-rakan banyak melakukan ziarah ke atas mereka yang menghidap kanser dan membantu semampu mungkin.
Apa yang paling penting katanya, ketika perjumpaan dengan para penghidap kanser, mereka diberikan kata-kata semangat dan sokongan untuk terus bertahan ketika berhadapan dengan situasi sukar seperti itu.
“Mereka sebenarnya memerlukan seseorang yang boleh berkongsi ‘kesakitan’ serta memberikan kata nasihat dan dorongan untuk terus melawan penyakit tersebut.
“Jika dibiarkan berseorangan, mereka berkemungkinan berhadapan dengan masalah kemurungan dan lebih parah beranggapan hidup seperti tiada ertinya lagi,” ujarnya.
Ain menegaskan, semangat untuk dia bertarung dengan penyakit tersebut datang daripada suami dan keluarga.
Berkat sokongan suami dan keluarga jelasnya, menjadikan dia semakin kuat dan bersemangat untuk berhadapan dengan cabaran penyakit.
Dalam pada itu, ketika disahkan menghidap kanser, dia baru memulakan operasi perniagaan Nasi Ayam Cabai Hijau di kedai miliknya sendiri di Alor Setar, Kedah.
Sebelum itu, dia menumpang di kedai orang lain termasuk sewaktu mula-mula menjalankan perniagaan tersebut pada tahun 2015.
Disebabkan penyakit itu, dia terpaksa menutup kedainya selama sebulan bagi menjalani pembedahan.
Bercerita tentang pengalamannya sebagai pesakit kanser payudara, Ain menjelaskan, apa yang boleh dia katakan, ia adalah sesuatu yang menyeksakan.
“Kesan ubat yang diambil menyebabkan saya rasa loya, muntah sehari empat hingga lima kali, hilang selera makan, rambut gugur dan bermacam-macam lagi.
“Kini doktor memberitahu, saya perlu mengambil ubat kemoterapi yang kuat disebabkan kanser ini telah merebak ke bahagian tulang, dada, tengkorak dan paru-paru,” jelasnya.
Menurut Ain, ujian paling berat diterimanya sebagai pesakit kanser adalah apabila doktor menasihatinya agar tidak mengandung kerana kanser itu melibatkan hormon.
Untuk itu, Ain sendiri mengambil suntikan lucrin untuk menghadapi premenopause dan akan menjalani pembedahan membuang ovari tidak lama lagi.
“Saya bernasib baik kerana suami memahami yang saya tidak dapat memberikannya zuriat,” kata Ain menutup bicara.