MUNICH – Bekas jurulatih Itali, Antonio Conte melaungkan keyakinan skuad The Azzurri memiliki kemampuan untuk menewaskan Belgium pada aksi suku akhir, Euro 2020 di Allianz Arena awal pagi esok.
Meskipun sedar dengan status Belgium sebagai pasukan No.1 dunia, namun beliau percaya Itali memiliki pemain yang setaraf dan sedia untuk berikan segala-galanya pada perlawanan itu nanti.
Ujar Conte, semangat juang tinggi yang ditunjukkan Itali ketika berdepan Austria pada pusingan 16 terbaik membuktikan mereka bukanlah pasukan yang mudah mengaku kalah.
“Itali sebenarnya adalah pasukan setanding dengan Belgium dan kami boleh berikan masalah kepada mereka. Saya yakin Itali akan menang, seterusnya layak ke separuh akhir.
“Rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan menyebabkan ramai pihak meletakkan harapan cukup tinggi kepada kami. Bagaimanapun, semua pemain menghadapi situasi ini dengan tenang,” katanya.
Bekas pengurus Chelsea itu juga menjelaskan, Belgium juga tidak menunjukkan aksi memberangsangkan ketika bertemu Portugal sebelum ini, sekali gus memberi harapan kepada Itali menjelang pertemuan itu nanti.
“Pasukan Itali sudah ada identiti sendiri pada kejohanan ini dan ia diakui oleh semua orang. Saya tahu Belgium ada Romelu Lukaku dalam pasukan, namun mereka tidak boleh hanya bergantung kepadanya.
“Saya hormati Roberto Martinez sebagai jurulatih Belgium, namun aksi mereka ketika berdepan Portugal tidak meyakinkan, terutama dari segi pertahanan dan kami mampu berikan mereka masalah,” ujarnya.
Sementara itu, tonggak bahagian tengah Itali, Jorginho menegaskan, mereka tidak akan memberikan fokus 100 peratus terhadap pemain perancang Belgium, Kevin De Bruyne pada perlawanan itu nanti kerana percaya ia mampu memakan diri.
Meskipun sering berdepan De Bruyne dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun jurulatih Itali, Roberto Mancini tidak pernah meminta pandangan atau nasihat mengenai bagaimana untuk menyekat pemain tersebut.
“De Bruyne seorang pemain yang sangat bijak dan berada dalam kelas tersendiri, namun jurulatih tidak pernah minta nasihat saya mengenainya, justeru ia menunjukkan kami tidak boleh fokus pada seorang pemain sahaja.
“Bagaimanapun, kami perlu membataskan pergerakannya dalam perlawanan itu nanti kerana dia boleh mengundang bahaya kepada pasukan jika dibiarkan bergerak bebas,” jelas Jorginho. – AGENSI