KUALA KRAI – Polis menahan dua lelaki dan merampas sebanyak 22,250 karton rokok seludup tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM1.13 juta selepas menahan dua buah lori di sekatan jalan raya (SJR) Laloh di sini semalam.
Tidak cukup dengan melakukan kesalahan itu, salah seorang daripada pemandu lori itu cuba menawarkan rasuah wang tunai sebanyak RM5,000 kepada polis agar dirinya dilepaskan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, Abdullah Mohammed Piah berkata, kedua-dua buah lori itu ditahan ketika melalui SJR berkenaan kira-kira pukul 6.15 petang.
Katanya, kedua-dua pemandu yang berusia 54 dan 29 tahun itu menunjukkan dokumen perjalanan yang sah daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kebenaran membawa barangan runcit.
“Curiga dengan muatan yang dibawa oleh mereka, anggota polis telah bertindak melakukan pemeriksaan dan mendapati bahagian belakang lori itu penuh dengan kotak rokok jenama SAAT.
“Dalam keadaan itu, salah seorang suspek yang berusia 54 tahun telah cuba menawarkan sogokan sebanyak RM5,000 untuk melepaskan diri, namun ditolak oleh anggota polis yang bertugas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini hari ini.
Menurut Abdullah, pemeriksaan lanjut turut mendapati nombor pendaftaran yang digunakan pada kedua-dua buah lori itu adalah palsu dan berdasarkan siasatan, rokok tersebut dipercayai dibawa dari sebuah negeri di selatan tanah air untuk dihantar ke beberapa daerah di Kelantan seperti Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Tumpat.
“Rampasan rokok ini merupakan kes terbesar yang dilaporkan berlaku di Kelantan setakat tahun ini dan kedua-dua suspek telah direman selama empat hari bermula semalam sehingga 4 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan suspek juga akan disiasat atas cubaan memberi rasuah.,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929