PETALING JAYA – Doa rakyat Malaysia agar dua ‘hero Malaysia’ dipertemukan di Palestin menjadi kenyataan apabila Caprice berkongsi sebuah video pertemuannya dengan pendakwah bebas terkenal, Ebit Lew.
Menerusi video yang dimuat naik Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli, dalam Instagram, penyanyi rap yang juga aktitivis kemanusian itu kelihatan gembira dapat bertemu dengan Ebit Lew.
“Alhamdulillah sebab ramai di Malaysia tanya, akhirnya dapat jumpa Ebit Lew,” tulisnya sebagai kapsyen menerusi video yang dimuat naik.
Seorang netizen meninggalkan komen dalam ruangan kapsyen Caprice: “Subahanallah. Dua hero disatukan bersama akan jadi hebat.”
Caprice, 33, membalas komen itu dengan ayat berbunyi: “Insya-Allah dapat balik Malaysia dan bantu orang kita juga yang ‘bendera putih’.
“Insya-Allah satu hari nanti kita akan gerak sama-sama satu pasukan dalam misi kemanusiaan di Malaysia dan dunia.”
Sementara itu, Ebit Lew turut berkongsi kegembiraan dapat bertemu dengan Caprice dalam InstaStory. Katanya, dia bersyukur dapat bertemu dengan Caprice yang disifatkan sahabat dunia akhirat.
Terdahulu, ramai yang melahirkan kebimbangan apabila Ebit Lew jarang berkongsi maklumat terkini dalam media sosial miliknya sejak berlepas ke luar negara dengan membawa misi kemanusiaan buat Gaza, Palestin sejak 25 Mei lalu. – K! ONLINE