MUNICH – Belgium tidak berhasrat menggunakan pendekatan bertahan menjelang aksi suku akhir, Euro 2020 menentang Itali yang dijadualkan berlangsung di Allianz Arena awal pagi esok.
Sebaliknya, mereka akan terus mengekalkan corak menyerang selain mengamalkan permainan terbuka, sama seperti ketika mereka beraksi pada saingan peringkat kumpulan sebelum ini.
Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez menjelaskan, mereka sedia menjadikan perlawanan itu lebih menarik kerana sedar Itali akan cuba melakukan serangan dari awal permainan.
Selain itu, beliau percaya pemain-pemain The Azzurri memiliki persefahaman cukup baik, sekali gus mampu menjadi ancaman kepada Belgium.
“Aksi menentang Itali akan menjadi perlawanan berbeza berbanding sebelum ini kerana mereka gemar menyerang dari awal permainan dan sangat dinamik ketika melakukan serangan.
“Pemain-pemain mereka memiliki keserasian cukup baik serta faham peranan masing-masing. Kedua-dua pasukan memiliki corak hampir sama, jadi kami perlu bertahan,” kata Martinez.
Bekas pengurus Everton itu tanpa berselindung mengakui kagum dengan reputasi dimiliki Itali kerana apabila masih belum tewas dalam 31 perlawanan setakat ini.
“Mereka bukan pasukan yang boleh dipandang rendah kerana masih belum kalah dalam 31 perlawanan. Saya percaya tidak ada pasukan yang boleh lakukan perkara sedemikian melainkan anda benar-benar hebat.
“Namun, saya jadikan ia sebagai cabaran dan semua pemain sangat teruja. Kami sudah buktikan kemampuan ketika menyingkirkan Portugal,” tambahnya.
Sementara itu, pemain tengah, Thorgan Hazard melaungkan amaran mereka akan menjadi pasukan yang akan meleburkan rekod tanpa kalah Itali selain menghantar pulang pasukan itu daripada Euro kali ini.
“Itali akan jadi pasukan paling sukar kami jumpa pada kejohanan ini kerana mereka bermain sangat baik. Saya fikir corak permainan mereka lebih sesuai dengan kami berbanding Portugal sebelum ini.
“Kami anggap ia sebagai cabaran untuk tamatkan rekod tanpa kalah mereka. Saya tahu Itali sangat bijak mencari ruang kosong ketika menyerang, namun kami tidak akan beri laluan mudah,” ujarnya. – AGENSI