PETALING JAYA – Akibat mendedahkan anak sulungnya dengan penggunaan gajet sejak bayi, pelakon Mia Ahmad mengakui kesilapannya sebagai seorang ibu yang hanya memikirkan soal diri sendiri pada waktu tersebut.
Menurut Mia, dia memberi anak sulungnya, Sayf Issa menggunakan gajet sehingga mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami masalah lambat bercakap, mudah hilang fokus dan tiada kemahiran sosial.
“Saya mengaku kesalahan sendiri. Pada waktu itu, saya cuma fikirkan diri saya sahaja dan mula dedahkan penggunaan gajet secara kerap kepada Issa,” katanya.
Bagaimanapun pelakon drama Jejak Karmila itu bersyukur kerana masalah yang dihadapi anaknya kini beransur pulih dan mula menunjukkan perkembangan sihat seperti kanak-kanak lain.
“Alhamdulillah dengan izin-Mu, Issa menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Mula bercakap dan berinteraksi.
“Dia sudah atasi semua masalah yang ada sebelum ini. Minta doakan kesembuhan sepenuhnya buat Issa ya. Banyak sebenarnya tips yang saya nak kongsikan. Nantilah bila ada kesempatan,” ujarnya lagi.
Dalam perkongsian tersebut, Mia memuat naik dua buah video memaparkan anaknya sedang belajar mengenal bentuk dan kategori jantina manusia.
“Imbas kembali video sebelum PKP 3.0. Anak pertama saya. Sangat bangga dengan dia. Tiada apa yang mustahil. Jangan putus doa dan sangka baik selalu dengan Allah. Awak mampu lakukannya, sayang,” tulisnya.
Sehubungan itu, Mia, 33, menasihati para ibu bapa di luar sana agar mengurangkan penggunaan gajet terhadap anak masing-masing lebih-lebih lagi ketika waktu pandemik sekarang.
“Ibu bapa, tolong kurangkan penggunaan gajet untuk anak-anak. Saya tahu ramai yang terkesan dengan pandemik dan ambil jalan singkat bagi anak-anak main gajet.
“Tolong pantau apa yang anak tengok dan berapa jam mereka menghadap skrin telefon. Bila beri mereka main gajet, pastikan kita tengok bersama mereka,” katanya.
Mia yang mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim, Mohd. Izham Tarmizi pada 2017 dikurniakan dua orang anak iaitu Issa, 3, dan Iris, 1. – K! ONLINE