KETIKA orang lain sedang lena diulit mimpi, Fares Abdulhakeem sudah mula bangkit daripada pembaringan dan bersiap menuju ke pantai untuk mencari rezeki.
Sebagai seorang nelayan, itu merupakan aktiviti harian Fares. Biarpun hari masih gelap-gelita, namun diredahinya untuk meneruskan kerja-kerja menangkap ikan. Bagi pemuda yang menetap di wilayah Seriah, selatan Yemen itu, alah bisa tegal biasa.
Umum mengetahui rakyat Yemen hidup dalam keadaan kemiskinan dan majoriti penduduknya bergelar nelayan demi kelangsungan hidup ekoran perang saudara yang berlaku sejak tahun 2014.
Tatkala Fares bersama 34 orang nelayan lain sibuk menurunkan pukat baru-baru ini, mata mereka tiba-tiba terlihat sebuah objek yang terapung di permukaan air, kira-kira 26 kilometer dari pesisir bandar Aden.
Perasaan ingin tahu menyebabkan mereka membawa bot menghampiri objek tersebut sebelum menemui bangkai seekor ikan paus sperma. Penemuan itu nyata membawa tuah buat diri mereka apabila bangkai itu turut mengandungi ambergris atau lazim disebut ‘muntah’ ikan paus.
Ambergris yang dikenali sebagai harta karun laut atau emas terapung merupakan objek melekit menyerupai batu yang dihasilkan di dalam usus ikan paus sperma. Ia bernilai tinggi di pasaran dan banyak digunakan dalam pembuatan minyak wangi mewah.
Penemuan tersebut mengubah nasib Fares dan rakan-rakan apabila ambergris seberat 127 kilogram (kg) itu kemudian dibeli oleh seorang ahli perniagaan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan harga lebih AS$1.5 juta (RM6.20 juta).
Menceritakan semula detik-detik itu, menurut Fares, nalurinya kuat mengatakan bangkai tersebut mempunyai ‘sesuatu’ memandangkan ia berbau busuk.
“Saya teringat kata-kata nelayan dulu-dulu yang memberitahu jika anda menemui ikan paus yang terdampar, ia mungkin mengandungi harta karun.
“Kami kemudian memutuskan untuk membawa ikan tersebut ke pantai dan membelah perutnya. Ternyata naluri kami benar apabila melihat ambergris di celahan usus.
“Biarpun memiliki bau yang kurang menyenangkan, tetapi ia begitu bernilai terutamanya buat kami, nelayan di Yemen. Dengan bau busuk itu jugalah hidup kami berubah sekelip mata,” katanya.
Biarpun bergelar jutawan segera, namun Fares dan rakan-rakannya tidak melupakan masyarakat Yemen yang kesusahan lantas menyumbangkan sebahagiannya kepada mereka yang memerlukan, selain membeli bot, membina atau membaiki rumah. Mereka masih meneruskan hidup sebagai nelayan.
Kisah tersebut lantas menjadikan pemuda-pemuda dari selatan Yemen ini popular. Lebih menarik apabila peristiwa yang berlaku itu secara tidak langsung membuka mata orang ramai akan nilai ambergris.
Pun begitu, peristiwa yang berlaku terhadap Fares bukanlah kali pertama dalam sejarah memandangkan sebelum ini, beberapa individu lain pernah dilaporkan menerima tuah sama selepas menemui ambergris.
Ambergris bukan sekadar boleh ditemui di dalam perut paus sperma, bahkan juga boleh ditemui di pesisiran pantai apabila bahan itu dimuntahkan atau dikumuhkan haiwan tersebut lalu terapung, hanyut dan mendarat di pesisiran pantai.
Pada 26 November lalu, seorang lelaki Thailand yang dikenali sebagai Narit Suwansang, 60, bergelar jutawan segera apabila ambergris seberat 100kg yang ditemui di tepi pantai di Nakhon Si Thammarat dibeli pada harga RM13.3 juta (AS$3.2 juta).
Biarpun rupanya seperti batu buruk yang tidak berharga, namun ambergris mempunyai permintaan tinggi dan menjadi buruan para pemain industri minyak wangi di seluruh pelosok dunia terutamanya Perancis, United Kingdom (UK) dan negara-negara Asia Barat yang mempunyai pasaran minyak wangi yang besar.
Campuran ambergris pada minyak wangi membuatkan sesuatu haruman tahan lama dan berbau lebih kuat.
Selain minyak wangi mewah, ambergris juga pernah digunakan sebagai agen perasa dalam minuman keras, kopi selain kemenyan bagi masyarakat Cina kuno dan Mesir kira-kira ratusan tahun lalu.
Menurut beberapa sumber, ambergris lazimnya dijual pada harga melebihi RM207,800 ($50,000) untuk satu kilogram.
Menurut seorang penyelidik dan juga penulis karya Floating Gold: A Natural and (Unnatural) History of Ambergris, Christopher Kemp, ambergris terhasil daripada ratusan ekor sotong yang dimakan oleh ikan paus sperma.
Kepala sotong yang keras dan tidak dapat dicerna dengan baik oleh paus menyebabkan ia terkumpul di dalam usus dan boleh membahayakan mamalia itu. Bagi melindungi ususnya daripada tercedera, tubuh haiwan itu akan menghasilkan sejenis lemak yang kemudian bergumpal bersama sisa-sisa itu maka terbentuklah ambergris.
Bagaimanapun, berdasarkan satu kajian, cuma satu peratus daripada 350,000 ekor ikan paus sperma yang ada di dunia pada masa ini mengandungi ambergris. Bahkan, ia hanya dihasilkan oleh ikan paus sperma jantan.
Mengapa hanya jantan dan bilangan yang mengandungi ambergris sedikit, hal itu masih menjadi misteri.
Ambergris lazim disebut sebagai muntah kerana kebiasaannya sisa-sisa kepala sotong itu ‘dimuntahkan’ haiwan itu daripada sistem penghadamannya. Namun, ada juga penyelidik-penyelidik masa kini yang menafikan ia muntah kerana ikan tidak muntah sebaliknya sesuatu yang dibuang ‘dari belakang’ atau dalam kata lain bersama tahi.
“Sisa-sisa tersebut dikatakan dikeluarkan dari tubuh haiwan itu dan ada juga yang tersimpan di dalam usus.
“Ke mana ‘laluan’ ambergris itu tidak begitu jelas. Ada juga berpendapat ia akan terkeluar sendiri ke laut menerusi sistem pembuangan najis haiwan itu. Agak sukar dipercayai kerana saiz ambergris yang besar boleh melalui saluran penghadaman dan saluran usus besarnya mungkin akan tersekat.
“Jadi, tanggapan paling realistik ialah mungkin gumpalan ambergris hanya dilepaskan daripada bangkai ikan paus ketika ia terurai selepas haiwan itu mati,” terangnya.
Ujarnya lagi, sekiranya ambergris dikeluarkan dari tubuh haiwan itu, ia akan terapung di atas air dan mengeras sebelum hanyut ke pantai beberapa bulan kemudian.
Biarpun baunya tidak menyenangkan bak najis, namun ambergris sangat didambakan syarikat-syarikat pembuat minyak wangi mewah yang menggunakan alkohol ambrein iaitu ekstrak daripada ambergris bagi mengekalkan aroma.
Wangian paling popular menggunakan ambergris ialah Fleurs de Bulgarie daripada jenama legenda, Creed yang dicipta untuk Ratu Victoria pada tahun 1845. Antara jenama-jenama mewah yang dikatakan ada menggunakan ambergris pada produknya ialah Chanel, Paco Rabanne, Burberry, Yves Saint Laurent dan banyak lagi.
Menurut Kemp, semakin busuk baunya, semakin berharga dan tinggi nilai sesebuah ambergris.
“Ambergris juga boleh berwarna kelabu, coklat dan hitam. Semakin cerah warna ambergris juga semakin berharga dalam industri minyak wangi.Biasanya kualiti ambergris dipengaruhi oleh proses pengoksidaan dan berapa lama tempoh gumpalan kepala sotong tersebut bercampur dengan jus di dalam usus ikan,” jelasnya.
Biarpun kini terdapat kecanggihan teknologi untuk membuat ambergris sintetik, negara-negara pengeluar minyak wangi tersohor seperti UK dan Perancis masih menggunakan ambergris asli.