MERSING – Seorang penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Tanah Abang di sini yang terlantar sejak 28 tahun lalu terharu apabila menerima vaksin di rumahnya hari ini.
Yatim Deron, 49 berkata, dia kini tidak boleh berjalan selepas kakinya lumpuh akibat dihempap kayu balak sewaktu bekerja sebagai penebang pokok ketika usianya 21 tahun.
Katanya, dia amat terharu apabila golongan sepertinya tidak dipinggirkan dalam menerima suntikan vaksin dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
“Sejak lumpuh anak-anak dua orang yang menjaga saya dengan hasil menoreh getah. Kaki saya lumpuh dari pinggang hingga ke bawah selain tulang belakang disokong dengan besi akibat insiden dihempap pokok itu.
“Meskipun dalam keadaan begini saya memang mahu sangat mendapatkan vaksin. Mahu tidak mahu kena ambil juga dalam keadaan sekarang.
“Tak dinafikan bila tengok di media sosial macam-macam diperkatakan pasal vaksin sampai ada perasaan takut tetapi kena berani-beranikan diri juga demi untuk kebaikan,”katanya.
Yatim berkata demikian ketika ditemui pemberita hari ini sempena Lawatan Menyantuni Para Penerima Vaksin Covid-19 Dikalangan Pemimpin Masyarakat Orang Asli Di Kampung Tanah Abang di sini yang disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Endau, Alwiyah Talib.
Yatim yang kini bergantung hidup dengan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal turut melahirkan rasa syukur selepas diberikan dos pertama hari ini.
Bagi seorang lagi penerima vaksin Inti Angan, 50, pula, pada awalnya dia juga takut untuk mendapatkan vaksin selepas mendengar banyak cerita negatif daripada rakan-rakannya.
Bagaimanapun penoreh getah itu berkata, dia cuba mengatasi perasaan takut itu dengan hadir untuk menerima vaksin yang dirasakan tidak seteruk seperti diperkatakan.
“Kena cucuk tidak sakit pun. Salah seorang anak saya juga telah ambil vaksin.
“Pada awalnya memang ada takut-takut juga tapi bila lihat ramai sahaja yang sudah ambil vaksin jadi saya pun ambil juga cuba atasi perasaan takut itu,”katanya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929