fbpx

Tidak wajar angkat bendera putih – Mufti Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bendera putih dikibarkan oleh penduduk yang memerlukan bantuan. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibarkan bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup untuk mengharapkan bantuan.

Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pihaknya beranggapan tindakan sedemikian tidak wajar kerana mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

Jelas beliau, umat Islam perlu memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup adalah dilarang.

Tambahnya, individu yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT.

“Jabatan ini berpendapat masih banyak cara lain untuk mendapat bantuan bagi mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Di samping bantuan yang sedia disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, bantuan juga boleh didapati daripada badan-badan dan agensi-agensi tertentu.

“Antaranya termasuk pusat-pusat pengurusan zakat setiap negeri; Jabatan Kebajikan Masyarakat; syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta di samping sumbangan individu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru usaha-usaha intensif dan agresif ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib untuk membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan yang terjejas dengan situasi ketika ini.

Ujar beliau, pihaknya merayu GLC dan syarikat-syarikat swasta menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut serta menyumbang dengan lumayan bagi meringankan keperitan hidup golongan terjejas..

Tambah Wan Mohd. Salim, wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri perlu memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan pihak yang boleh menyumbang.

“Ini kerana berkemungkinan mereka yang terjejas itu tidak tahu cara atau kaedah untuk memohon bantuan daripada pihak-pihak-pihak tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengajak seluruh umat Islam supaya memperbanyakkan doa dan munajat supaya pandemik Covid-19 segera berakhir. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI