fbpx

Terkilan gagal julang kejuraan Euro – Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MULLER (kiri) gagal menjaringkan gol meskipun peluang terbentang luas hingga menyaksikan Jerman tewas 0-2 kepada England pada pusingan 16 terbaik Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low terkilan apabila menamatkan 15 tahun kariernya bersama skuad Die Mannschaft tanpa sebarang kejuaraan Euro selepas pernah merangkul gelaran Piala Dunia pada 2014.

Ia susulan penyingkiran Jerman pada pusingan 16 terbaik Euro 2020 selepas kalah 0-2 kepada musuh tradisi, England di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Lebih malang, kekalahan itu disebabkan kegagalan Timo Werner dan Thomas Muller yang gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menjaringkan gol mengakibatkan Jerman tewas dua gol kepada England menerusi jaringan Raheem Sterling dan Harry Kane.

JOACHIM LOW terpaksa menelan kepahitan selepas gagal menjulang kejuaraan Euro sepanjang 15 tahun membimbing Jerman. – AFP

“Ini adalah satu kekecewaan cukup besar. Saya menjangkakan sesuatu yang lebih besar berdasarkan kemampuan para pemain dalam pasukan ini.

“Saya tidak dapat terima hakikat tersingkir seawal peringkat ini, lebih-lebih ia terjadi disebabkan anda membuang peluang untuk menjaringkan gol seperti Werner dan Muller.

“Namun, ia sudah ber­akhir dan saya perlu menerima hakikat ini. Saya sedih ke­rana kami hilang kreativiti dan stamina dalam perlawanan ini,” kata Low.

Pengendali berusia 61 tahun itu mula mengendalikan skuad Jerman pada 2006 dan berjaya menghadiahkan gelaran Piala Dunia 2014, namun gagal mempertahankannya apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi 2018 di Rusia.

Pencapaian terbaik Die Mannschaft di bawah kendalian Low dalam kempen Euro pula di­lihat kurang bernasib baik apabila terkandas di peringkat separuh akhir pada edisi 2012 dan 2016.

Sebagai rekod, jawatan Low selepas ini bakal diisi oleh seorang lagi jurulatih berpengaruh Jerman iaitu Hansi Flick yang telah memenangi semua kejua­raan di peringkat kelab bersama Bayern Munich. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI