PETALING JAYA – Akur bahawa industri kreatif, khususnya dunia lakonan memerlukan wajah baharu sebagai pelapis kepada pelakon sedia ada, penerbit popular Sheila Rusly bagaimanapun menitipkan pesan agar golongan terbabit peka tentang ilmu dan persediaan dan berusaha mendapat kepercayaan orang dengan bakat, bukannya secara membeli jiwa dengan pelbagai pemberian.
Ujar penerbit berusia 50 tahun itu, persediaan yang rapi perlu dilakukan para pelakon terutama wajah baharu bagi melancarkan penggambaran.
“Nasihat saya kepada yang mahu jadi anak seni, carilah ilmu supaya tidak menyusahkan ramai orang di set lokasi dan pelakon lain.
“Jangan susahkan orang lain hanya kerana rasa diri sudah popular dan ramai pengikut dalam media sosial. Syukur setakat ini tiada lagi pelakon yang berlagak diva bila masuk set penggambaran drama saya,” ujar pelakon drama Bukan Gadis Biasa itu.
Isteri kepada pengarah Jinggo atau Azman Yahya itu juga mahu kelompok pelakon baharu berusaha untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan oleh pengarah dan penerbit sebaik mungkin.
Pesannya lagi, barisan bakat baharu juga tidak seharusnya mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh produksi, stesen televisyen dan penonton.
“Tak perlu sembah saya belikan makanan minuman, cuma buat persediaan sahaja. Persediaan yang saya tuntut itu berbayar.
“Tunjukkan usaha untuk berikan yang terbaik. Jangan janji macam-macam kepada stesen. Ini amanah untuk buat yang terbaik dan hargai usaha serta masa penonton yang tahan kencing nak tonton drama lakonan anda,” katanya.
Tutur Sheila, dia tidak pernah memandang sebelah mata mana-mana individu yang ingin membina tapak sebagai pelakon sementelah industri juga ketandusan wajah-wajah segar untuk membintangi karya tempatan.
“Saya memang mengalu-alukan bakat-bakat baharu yang mempunyai minat dalam bidang lakonan memandangkan industri memang ketandusan pelakon.
“Takkanlah nak tayang muka sama sahaja sehingga zaman sekarang seperti hero-hero zaman saya dulu seperti Azhar Sulaiman, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Eizlan Yusof,” kata pemilik rumah produksi JS Pictures itu dalam sidang akhbar virtual drama terbitannya, Ratu Ten Pin baru-baru ini. – K! ONLINE