DUNGUN – Seorang suri rumah maut apabila motosikal jenis Demax DVS yang dinaikinya dikatakan bergesel dengan sebuah lori dalam kejadian langgar lari di Kilometer 99, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Rosnani Salleh dari Taman Murni Perdana, Paka dekat sini maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, motosikal jenis Demax DVS yang dinaiki wanita itu dikatakan telah bergesel sebuah lori di lokasi kejadian.
“Pemandu lori tersebut tidak memberhentikan kenderaannya sebaliknya dikatakan terus memecut laju meninggalkan mangsa yang terbaring di tengah jalan.
“Setakat ini tiada laporan polis dilakukan oleh pemandu lori berkenaan. Kita juga masih belum mengenalpasti jenis dan nombor pendaftaran lori itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sehubungan itu, Baharudin meminta mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan maut itu agar tampil menghubungi atau tampil ke balai polis terdekat untuk menyalurkan maklumat. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929