PETALING JAYA – Selepas melantik diri sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak rasmi, pelakon Sharnaaz Ahmad menyediakan 100 bungkusan bantuan berupa barangan dapur untuk disumbangkan kepada 100 buah keluarga yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Sharnaaz berkata setakat ini dia telah berjaya menyediakan ratusan bungkusan bantuan yang akan diagihkan bermula hari ini.
“Alhamdulillah saya dan juga pasukan telah menyediakan 100 bungkusan bantuan untuk mereka yang memerlukan. Saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tidak dilantik kerajaan cuba membantu mereka yang susah.
“Sumbangan ini disumbangkan sendiri pasukan Mamu Legacy dan Sharnaaz TV untuk membantu menyediakan bantuan ini,” katanya.
Menurut pelakon filem Jebat itu, sumbangan yang diberikan tidaklah semewah mana, namun cukup untuk menampung keperluan keluarga selama satu hingga dua minggu.
“Insya-Allah bantuan ini tahan untuk seminggu dua,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, Sharnaaz turut memberitahu bahawa bantuan yang diberikan itu tidak hanya tertumpu pada satu-satu kaum sahaja, sebaliknya juga melibatkan bangsa lain tanpa mengira agama.
Bercakap tentang isu bendera putih, Sharnaaz turut meminta orang ramai untuk mengenal pasti rumah yang di dapati mengibarkan bendera putih sebagai mesej mereka memerlukan bantuan.
“Saya sedia maklum tentang kempen bendera putih yang dilakukan sekarang. Jadi saya meminta anda untuk mengenal pasti rumah yang ada bendera putih atau mungkin diri anda sendiri yang memerlukan bantuan untuk menghubungi kami di talian 011-2899 5617.
“Setakat ini kami memang hanya ada 100 bungkusan bantuan sahaja. InsyaAllah bila ada bajet lebih, saya akan sediakan lagi,” katanya.
Pada masa sama, Sharnaaz turut menyeru kepada masyarakat yang sudi untuk menghulurkan sumbangan berbentuk wang supaya berbuat demikian menerusi akaun Hong Leong Bank (Fizahan Samudah) di 19300055639.
“Ini sahaja yang dapat saya bantu. Yang mana ada saya tolong,” jelasnya.
Sejak beberapa hari lalu, rakyat Malaysia mula menggerakkan kempen yang dipanggil #benderaputih dalam platform media sosial dengan meminta sesiapa sahaja yang berhadapan dengan waktu susah untuk menggantung bendera putih di rumah.
Tanda itu sebagai simbol untuk golongan yang terkesan akibat pandemik terutamanya bagi mereka yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera. – K! ONLINE