fbpx

Rebut peluang sertai bidang penternakan arnab – MAFI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Abdullah (tengah) memegang seekor arnab sewaktu mengadakan lawatan Projek Ternakan Arnab di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Tangkak semalam. – NUR ALINA HASSAN

TANGKAK – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggalakkan lebih ramai masyarakat khususnya penternak muda untuk menceburi bidang ternakan arnab berikutan potensinya yang mulai berkembang di negara ini.

Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, setakat ini permintaan terhadap haiwan ternakan itu mulai meningkat, justeru pihak­nya bersedia untuk memperluaskan sektor tersebut dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, kita menghadapi kekurangan dari segi bekalan berikutan penglibatan penternak untuk daging arnab agak rendah. Saya nampak pasaran yang besar, namun penternak kita masih belum mampu.

“Di Malaysia, industri yang mula dikembangkan pada 2003 sehingga kini hanya memperoleh kira-kira 33,701 ekor meliputi penternakan arnab pedaging dan kesayangan (belaan). Di Johor, terdapat 53 penternak arnab yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ) dengan jumlah populasi 4,339 ekor bagi kategori arnab pedaging dan 123 sebagai haiwan belaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Projek Ternakan Ar­nab milik salah seorang penduduk di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pe­ngarah JPVNJ, Dr. Norina Lokman dan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Tangkak, Wan Asri Wan Jusoh.

Menurut Che Abdullah, kaedah penternakan arnab daging adalah lebih mudah kerana selain keuntungan yang mampu dijana, kos permulaannya juga rendah bermula dengan modal penja­gaan, makanan dan habitatnya.

“Dari segi produktiviti indeks iaitu Anggaran Margin Kasar, dianggarkan seekor induk akan menjanakan hasil atau memberi keuntungan kasar dalam RM100 setahun. Harga daging bertulang RM36 sekilogram, manakala bagi daging tanpa tulang pula RM47 sekilogram.

“Selain itu, kelebihan bidang ternakan ini juga adalah pembiakan yang cepat iaitu tempoh kebuntingan 30 hari, diet pracampuran yang mudah diperolehi dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, JPVNJ bersama-sama Kerajaan Negeri Johor akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memajukan industri penternakan arnab menerusi pelaksanaan program berbentuk khidmat nasihat serta bimbingan, kursus penternakan arnab, penghasilan produk tambah nilai berasaskan daging ­arnab seperti burger, sate dan arnab perap serta kursus pemprosesan kulit.

“Malah, kerajaan negeri turut menyediakan insentif berbentuk bantuan bahan binaan untuk membina, memperbaiki dan menaik taraf reban dan bantuan peralatan di bawah pemba­ngunan industri aneka haiwan dengan peruntukan berjumlah RM90,000 bagi tahun ini.

“Sehingga kini seramai empat orang penternak arnab berpotensi di Johor telah dibimbing melalui Program Pengembangan Veterinar (PPV) sebagai usaha mengembangkan lagi industri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI