LONDON – Pemain tengah Jerman, Toni Kroos menyifatkan penyudah tumpul di jentera serangan sebagai punca mereka tewas 0-2 kepada England pada pusingan 16 terbaik Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Bintang Real Madrid itu mengakui, keputusan mampu berubah jika Thomas Muller menjaringkan gol ketika mereka ketinggalan satu gol, namun percubaan penyerang Bayern Munich itu tersasar jauh.
Kroos, 31, seakan-akan tidak dapat menerima hakikat Jerman tewas kepada England yang melakukan kurang percubaan berbanding mereka selain sekadar menguasai 45 peratus perlawanan.
“Anda boleh bayangkan betapa kecewanya perasaan ini. Perlawanan ini seimbang sehinggalah mereka menjaringkan gol pertama.
“England boleh dikatakan langsung tidak mempunyai peluang sebelum kedudukan 0-1.
Kami sudah bermain dengan baik tetapi gol tersebut mengubah segala-galanya,” katanya.
Kekalahan itu berkemungkinan besar menjadi aksi terakhir Kroos bersama skuad Die Mannschaft sejak membuat debut antarabangsanya pada 2010.
Sementara itu, legenda Jerman, Jurgen Klinsmann mempunyai pandangan berbeza dengan Kroos apabila menyifatkan England sememangnya berhak meraih kemenangan berdasarkan prestasi keseluruhan dipamerkan berbanding pasukan negaranya.
Bekas pemenang Piala Dunia 1990 dan Euro 1996 bersama Jerman itu menegaskan, kunci kejayaan The Three Lions adalah disebabkan berjaya menguasai 45 minit babak kedua perlawanan tersebut. – AGENSI