IPOH – Sebuah kilang memproses sisa logam di Kawasan Perindustrian Mengglembu dekat sini dikenakan tindakan menghentikan operasi alat kawalan kelengkapan atas kesalahan gagal menyediakan sistem pengolahan efluen mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Tindakan diambil oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Seksyen Perak Tengah yang melakukan pemeriksaan semalam.
JAS negeri Perak dalam satu kenyataan membertahu, tindakan penahanan operasi kelengkapan tersebut tertakluk di bawah Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mengarahkan premis industri menghentikan aktiviti pemprosesan serta merta.
Menurut kenyataan itu, langkah seterusnya termasuk menarik balik penahanan hanya dilakukan sehingga tindakan pembaikan diambil dengan segera.
“Bagi kesalahan lain premis turut dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“Pemeriksaan ini dijalankan mengikut pematuhan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, pemeriksaan turut dilakukan penguat kuasa JAS negeri Perak pada hari yang sama ke atas premis di sekitar kawasan Tanjung Tualang bagi memastikan pematuhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Tumpuan pemeriksaan dan pemantauan di loji kumbahan mendapati, pelepasan kumbahan adalah patuh manakala pemeriksaan premis bengkel di bawah Akta 342 juga dibuat mengikut peraturan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929