fbpx

Kedai makan suasana era pendekar Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIDANGAN sate Seri Banian berbeza berbanding sate lain di pasaran kerana saiznya lebih besar.

TERLETAK kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Alor Setar, Kedah, Warung Kampung Seri Banian (WKSB), di Kampung Bendang Bukit, Pendang semakin menjadi pilihan dan popular dalam kalangan penduduk di utara tanah air.

Warung yang dibuka sejak Oktober tahun lalu itu bukan sahaja menyajikan makanan unik serta menyelerakan, malah konsep yang diketengahkan pemiliknya cukup menarik dan lain daripada lain.

Pemiliknya, Dil Akbar Jaafar berkata, warung itu pada mulanya dibina bagi memenuhi permintaan pengunjung yang menginap di inap desa berupa rumah Melayu Nusantara di Perkampungan Adat Seri Banian.

Jelasnya, ekoran sambutan baik diterima, lelaki berusia 41 tahun itu mengambil keputusan membuka sebuah warung berkonsepkan sebuah kedai makan zaman silam seperti era pendekar Melayu dahulu kala.

“Tarikan utama warung ini sudah pastilah kepada struktur binaannya daripada kayu hutan, berdindingkan buluh serta beratapkan daun rumbia.

“Makanan di sini dihidangkan dalam pinggan buluh atau daun pisang. Air pula dalam bekas buluh, sekali gus membolehkan pengunjung merasai pengalaman makan seperti pada zaman nenek-moyang mereka,” katanya ditemu bual baru-baru ini.

Selain keunikan konsep yang diketengahkan, WKSB turut menawarkan aneka sajian terbaik yang sukar diperoleh di tempat lain.

WARUNG
Kampung Seri Banian, Kampung Bendang Bukit, Pendang semakin menjadi pilihan dan popular dalam kalangan masyarakat di utara tanah air.

Menurut Dil Akhbar, warung itu menawarkan lebih 70 menu terdiri daripada sajian warisan popular sekitar Nusantara terutamanya dari negara ini, Indonesia, Thailand serta Filipina.

Katanya, semua hidangan tersebut merupakan resipinya sendiri yang diperoleh ketika merantau ke negara-negara berkenaan bagi menuntut dan mendalamkan ilmu persilatannya.

“Makanan di sini berkonsepkan Melayu Nusantara dengan menyajikan pelbagai sajian popular di beberapa negara. Menu ini saya olah sedikit mengikut cita rasa tempatan.

“Antara menu di sini termasuklah piyada, arnab rica-rica, puyuh bakar, ayam sembah diraja, nasi itik panggang, sate Seri Banian, sate anta brahi, ayam panggang anta kesuma dan pulut Seri Banian,” katanya.

Menariknya, setiap lauk-pauk itu boleh dijamah dengan nasi yang dimasak dalam buluh sebelum diletakkan dalam bekas diperbuat daripada daun mengkuang bagi menaikkan aromanya.

Tegasnya, sajian paling popular dan mendapat permintaan tinggi pengunjung di WKSB adalah sate Seri Banian diperbuat daripada ayam, manakala sate anta brahi hadir dengan pilihan daging lembu atau kambing.

Jelasnya, sate Seri Banian dan anta brahi sangat berbeza berbanding sate-sate lain yang terdapat di pasaran kerana ia bersaiz lebih besar dengan setiap cucuk boleh dimakan dua orang.

“Sate ini diperap dengan rempah tersendiri sebelum dibakar dengan sempurna. Satu cucuk sate ini bersaiz lima kali ganda berbanding sate biasa.

“Sate di sini tidak menggunakan kuah kacang biasa, sebaliknya disajikan bersama sambal tumis Sunda, sekali gus memberikan kombinasi rasa cukup menyelerakan,” ujarnya.

PERSEMBAHAN silat antara pertunjukan yang diadakan untuk memberikan pengunjung hiburan sambil menikmati hidangan.

WKSB mampu memuatkan seramai 300 orang pada satu-satu masa serta bersedia menjadi lokasi majlis keraian seperti perkahwinan, kenduri kesyukuran dan sambutan hari lahir.

Dil Akhbar memberitahu, pelanggan turut dihiburkan dengan beberapa persembahan seni warisan Nusantara yang kian dilupakan sambil menikmati hidangan.

“Antara persembahan itu termasuk pertunjukan silat, tiupan serunai dan gendang serta seni tarian tradisional.

“Ini biasanya diadakan pada hujung minggu.

“Persembahan seni tradisional ini mendapat sambutan baik daripada pengunjung terutamanya anak muda. Ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan seni warisan bangsa kepada generasi baharu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI