TURIN – Jurulatih baharu Juventus, Massimiliano Allegri mendedahkan keinginannya untuk mendapatkan khidmat penyerang Manchester City yang sudah tidak lagi diperlukan oleh Pep Guardiola iaitu Gabriel Jesus.
Bagaimanapun, hasrat Allegri itu hanya akan tertunai sekiranya City berjaya menandatangani penyerang baharu yang mereka inginkan terlebih dahulu sebelum bersedia melepaskannya ke Juventus.
Allegri kembali mengemudi kelab yang berpangkalan di Turin itu selepas dua musim lalu melepaskan jawatannya dan kini cuba untuk memberi sentuhan baharu di bahagian serangan pasukan itu.
Ketika ini, masa depan penyerang sensasinya, Cristiano Ronaldo menjadi topik hangat yang sedang dibincangkan dan Allegri dilaporkan sedia untuk melepaskan khidmat kapten Portugal berkenaan yang diburu oleh Paris Saint-Germain.
Kekosongan tersebut menyebabkan Allegri mahu Jesus mengisinya dan dia menjadi sasaran utama perpindahan Juventus musim ini selain usianya masih muda serta cukup versatil.
City pula dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk melepaskan Jesus sekiranya ditawarkan dengan harga yang tepat selain Guardiola juga mengakui bahawa pemain Brazil itu tidak sesuai dengan perancangan dan gaya permainan pasukannya.
Ketika ini, City sedang berusaha keras untuk mendapatkan khidmat penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane dengan menyiapkan dana sebanyak £100juta (RM575.17 juta) termasuk bersediakan melepaskan salah seorang daripada lima pemain yang dicadangkan termasuk Jesus. – AGENSI