LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate menggesa barisan pemainnya agar tidak dibuai kejayaan mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Jerman 2-0 pada pusingan 16 terbaik di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Southgate, 50, enggan anak-anak buahnya leka apabila bertemu Ukraine di Stadio Olimpico, Rom pada Ahad ini kerana The Three Lions tidak lagi mendapat sokongan padu 43,000 penyokong sendiri seperti di Wembley.
“Persembahan hari ini (awal pagi semalam) cukup mengagumkan tetapi ia dibayar dengan harga yang mahal melibatkan faktor emosi dan fizikal pemain.
“Saya tidak bimbang jika pemain-pemain boleh mendapat semula tahap kecergasan terbaik dengan cepat. Saya merasakan sekarang adalah waktu yang sukar buat kami.
“Semua pemain menyedari perkara ini tetapi mereka menunjukkan keyakinan melalui corak permainan yang ditampilkan. Namun, kami tetap perlu berwaspada kerana kami belum meraih apa-apa kejayaan lagi,” katanya.
Antara faktor kejayaan England adalah disebabkan keberanian Southgate menukar formasi 4-3-3 kegemarannya dengan mengamalkan percaturan tiga pemain pertahanan menggunakan taktikal permainan 3-4-3.
Ia membuahkan hasil apabila The Three Lions berjaya meledak dua gol menerusi Raheem Sterling dan Harry Kane masing-masing pada minit ke-75 serta 86.
England dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mara ke separuh akhir dengan menewaskan Ukraine berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan yang dilihat lebih memihak kepada skuad bimbingan Southgate.
“Sekarang kami mendapat peluang untuk mencipta sejarah baharu memandangkan England baru sekali layak ke separuh akhir (Euro). Pemain perlu memanfaatkan setiap peluang jika mahu meraihnya,” jelas Southgate.
England tidak pernah melangkah ke pentas separuh akhir dalam lima edisi terakhir Euro sejak meraih tempat ketiga sewaktu beraksi di laman sendiri pada 1996. – AGENSI