PETALING JAYA – Penyanyi, Altimet menegaskan hanya meletakkan barang makanan di hadapan kediaman yang mengibarkan bendera putih tanpa mengambil gambar pada sesi rondaan, Jumaat ini.
Katanya, mereka yang memerlukan bantuan tidak perlu berasa segan untuk berbuat demikian bagi membolehkan sumbangan dapat dihantar terus ke rumah.
“Saya dan beberapa rakan lain akan meronda di sekitar Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa, Lembah Keramat dan Gombak pada Jumaat ini.
“Tinjauan ke kawasan berkenaan berkenaan adalah bertujuan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas, bermula pukul 2 sehingga 6 petang l.
“Kami akan tinggalkan barang dapur di pagar atau depan pintu rumah dan tidak perlu malu, kami tidak mahu mengambil gambar dengan sesiapa.
“Kami pun tak mahu orang ambil gambar kami dan muat naik. Kamu jiran-jiran kami, celakalah kami kalau tak menolong jiran sendiri,” katanya.
Pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 43, itu antara selebriti yang terpanggil menyokong gerakan #benderaputih yang diilhamkan rakyat sendiri.
Sejak awal minggu ini tular tanda pagar #benderaputih sebagai tanda kediaman atau penghuni di rumah berkenaan memerlukan bantuan makanan dan sokongan ramai.
Solidariti dalam kalangan masyarakat ini juga antara lain sebagai usaha halang mereka yang tewas dengan situasi pandemik Covid-19 ini tidak mengambil jalan singkat yang menghancurkan kehidupan.
Sementara itu, Altimet yang berhasrat menjadikan aktiviti rondaan itu secara mingguan turut membuka peluang pada individu lain yang berkemampuan untuk sama-sama membantu.
Katanya, mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh ke akaun yang disediakan iaitu di bawah Maybank, 564874006702. – K! ONLINE