GLASGOW – Saingan Euro 2020 sekali lagi disajikan dengan kejutan apabila Ukraine melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Sweden 2-1 pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Hampden Park awal pagi semalam.
Pada aksi penuh dramatik itu, Ukraine memperoleh gol kemenangan menerusi Artem Dovbyk pada penghujung waktu tambahan ketika kedua-dua pasukan sudah mula berkira-kira untuk aksi penentuan sepakan penalti.
Gol kemenangan itu sekali gus memadam api perjuangan Sweden yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Marcus Danielson dilayangkan kad merah pada minit ke-98.
Ketua jurulatih Ukraine, Andriy Shevchenko menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya atas usaha serta kerja keras yang ditunjukkan sepanjang permainan.
“Saya berterima kasih kepada semua pemain atas semangat juang yang ditampilkan. Kedua-dua pasukan bermain dengan baik serta menjadikan perlawanan itu sangat istimewa.
“Saya lega kerana perancangan kami berjalan dengan baik sejak awal permainan. Beberapa perubahan posisi pada bahagian tengah juga berjaya membantu kemenangan ini,” kata beliau.
Selain gol kemenangan Dovbyk, pemain pertahanan, Oleksandr Zinchenko turut mencetak nama selaku penjaring sementara gol Sweden dijaringkan, Emile Forsberg.
“Saya percaya pemain layak diberikan pujian serta disanjung oleh semua rakyat Ukraine di seluruh negara,” ujar Shevchenko. – AGENSI