PETALING JAYA – Pendakwah terkenal Ebit Lew sekali lagi menyentuh hati orang ramai dengan menyampaikan sumbangan barangan ubatan dan keperluan hospital sebanyak dua lori kepada beberapa buah hospital di Gaza, Palestin hari ini.
Menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini, beliau memaklumkan telah menerima senarai barangan keperluan hospital daripada Kementerian Kesihatan di sana selain daripada wakil-wakil hospital.
“Mulanya kami bermesyuarat dengan Palestin Red Crescent kemudian bersama Kementerian Kasihatan dan Pengarah Hospital Al Syifa. Mereka gembira dan sangat berterima kasih.
“Presiden Palestin Red Crescent ceritakan masa kena bom dahulu pesakit semua dibawa lari ke jalanan dan ramai yang cedera serta syahid. Hospital yang musnah kini dibina semula,” ujar beliau.
Menurut Ebit, pihaknya turut membelikan kerusi roda, mesin dialisis, ubat-ubatan serta barangan lain yang merupakan keperluan hospital.
“Sempat juga saya dapatkan nombor anak kepada Dr. Ayman yang merupakan senior di hospital Al Syifa yang syahid baru-baru ini.
“Anak itu tinggal seorang diri sahaja, keluarganya semua syahid. Allahuakbar, sedihnya,” luah beliau lagi.
Perkongsian pendakwah itu setakat pukul 3 petang tadi telah mendapat lebih daripada 1,800 komen dan 2,500 perkongsian oleh pengguna laman Facebook.
Pengguna Facebook yang tersentuh dengan perkongsian tersebut turut mendoakan keselamatan pendakwah itu walaupun berada jauh daripada pandangan.
“Ya Allah, segala bantuan yang diberi oleh Ustaz Ebit walau di mana pun berada, di luar jangkaan kami, lindungilah, murahkan rezekinya agar sentiasa dapat membantu mereka yang memerlukan,” kata seorang pengguna Facebook dengan nama Fadilon Shah.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook dengan nama JS Chong turut berharap agar sumbangan oleh pendakwah itu dapat memudahkan urusan mereka yang memerlukan.
“Semoga semua ubat-ubatan dan alat-alatan dapat membantu rakyat Palestin dan semoga segala urusan Ustaz Ebit Lew di sana berjalan lancar, walaupun saya bukan Muslim tapi tetap berdoa bagi Ustaz disana,” ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929