ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki cedera pada bahagian bahu dan lengan sebelah kiri setelah ditikam rakan serumah yang mabuk menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Forest City, Tanjung Kupang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warganegara China berusia 36 tahun.
Katanya, polis menerima maklumat pada pukul 6.50 pagi daripada Polis Bantuan Forest City berhubung kejadian yang mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 34 tahun.
Tambahnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa dan suspek merupakan rakan serumah.
“Sebelum kejadian, mangsa dan suspek berada di ruang tamu sedang minum minuman keras sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.
“Suspek bertindak mengambil pisau pemotong daging di dapur dan terus menikam mangsa pada bahagian bahu dan lengan kiri mangsa.
“Mangsa kini berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929