BERBASIKAL lasak seperti mountain bike atau lebih dikenali sebagai basikal bukit merupakan salah satu aktiviti yang menguji adrenalin tatkala menempuhi jalan berliku di dalam hutan.
Bagi salah seorang ahli kelab Gravity Cycle Ipoh, Alif Norazhar, 23, dia suka mencabar diri dan bersedia menghadapi pelbagai halangan ketika menyertai aktiviti basikal lasak itu.
“Pada tahun 2005, saya mengikuti aktiviti ini secara suka-suka sahaja bersama bapa saudara, tetapi tidak menyangka mula jatuh ‘cinta’ dengan basikal bukit yang memberikan kepuasan tersendiri.
“Selain beraksi lasak, aktiviti ini juga mendekatkan saya dengan alam semula jadi kerana berkayuh dalam hutan. Ini memberikan perasaan yang sukar untuk digambarkan,” katanya yang pernah memenangi tempat kedua kejohanan antarabangsa,
Asian Cup pada tahun 2014 dengan menewaskan peserta dari dalam dan luar negara.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Teknologi Mara, Arau, Perlis itu, dia banyak menerima tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman di Gravity Cycle Ipoh dan akan menjalani pelbagai rutin latihan bersama ahli kelab tersebut.
Dia yang pernah menyertai Sukan Malaysia pada tahun 2016 dan 2018 memberitahu, latihan bersama kelab itu banyak membantunya memperkemaskan lagi teknik kayuhan basikal bukit bagi mempersiapkan diri menyertai pelbagai kejohanan.
Dalam pada itu, menurut pengerusi kelab tersebut, Nor Afzainizam Salleh, Gravity Cycle Ipoh yang ditubuhkan pada tahun 2015 berhasrat untuk mengumpul komuniti basikal bukit dan pada masa sama melahirkan sebanyak mungkin atlet berprestasi tinggi.
“Kami kini mempunyai 32 orang ahli berusia antara 15 hingga 50 tahun yang mana kesemua mereka warga Perak.
“Di samping menjalankan pelbagai latihan bersama ahli, kami turut menganjurkan kejohanan basikal bukit peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” jelasnya.
Tambahnya, kelab itu mempunyai treknya sendiri di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong sejauh 1.5 kilometer.
Untuk itu, Nor Afzainizam berterima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak kerana membenarkan kelab itu membina trek untuk latihan dan penganjuran pertandingan basikal lasak di taman eko-rimba tersebut.
Kata Nor Afzainizam, aspek keselamatan menjadi keutamaan pihaknya seperti trek, persediaan basikal yang memenuhi spesifikasi untuk sukan lasak dan peralatan lengkap dari kepala hingga kaki.
Sementara itu, Pengurus Gravity Cycle Ipoh, Azli Salleh berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang kriteria untuk sesiapa yang ingin menyertai kelab tersebut asalkan mempunyai minat dalam sukan basikal lasak.
“Kami akan memberi pengenalan mengenai sukan basikal bukit yang sebenar daripada pelbagai cabang disiplin, jenis basikal, teknikal, pakaian, keselamatan dan trail,” tuturnya.
Mengulas mengenai teknik dan latihan, katanya, ia merangkumi kedudukan badan, mengawal brek, masa, pecutan, pumping, selekoh dan penjimatan tenaga.