PUTRAJAYA – Pembukaan masjid dan surau secara berperingkat sejurus keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilihat antara langkah terbaik bagi memulihkan semula aspek kesihatan mental dalam kalangan rakyat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah berkata, masyarakat tercari-cari ruang bagi mententeramkan jiwa setelah terkesan
akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa ketika ini.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap agar aspek keagamaan sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan dalam usaha menangani peningkatan kes bunuh diri ketika ini.
“Secara realitinya, masyarakat kini sedang menghadapi pelbagai tekanan akibat Covid-19. Aspek emosi dan kesihatan mental individu yang terjejas boleh menyebabkan kecelaruan dalam berfikir seterusnya mendorong perilaku bercanggah syarak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, masyarakat disaran terus mengamalkan sikap ambil peduli, cakna dan saling membantu terhadap individu yang kurang bernasib baik. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929