fbpx

Ada yang berani nak tidur dalam hutan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERJASAMA berpasukan sangat penting sepanjang ekspedisi di dalam hutan bagi melepaskan kereta tersangkut dan melancarkan perjalanan.

MENJELAJAH hutan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) pastinya memberikan kepuasan tersendiri kepada pencinta aktiviti lasak yang sukakan cabaran.

Pada masa sama, ekspedisi itu dapat menenangkan fikiran dengan menikmati kehijauan alam semula jadi.

Ia bukan sahaja menguji fizikal serta mental peserta, tetapi juga membina
semangat kerjasama berpasukan untuk ‘meloloskan’ kenderaan tersekat dalam lumpur, selain cabaran jalan berbukit penuh liku yang terpaksa diharungi.

Salah satu kelab kembara pacuan empat roda yang aktif menganjurkan ekspedisi pengembaraan dalam hutan adalah Lenggong Off Road Adventure Team ­(LORAT).

Menurut Pengerusinya, Zolkafli Ahmad, 62, dia menubuhkan kelab tersebut pada tahun 2011 kerana sangat meminati aktiviti mengembara di dalam belantara dengan menaiki kenderaan 4×4.

Katanya, kelab itu kini mempunyai 30 ahli yang sangat terlatih dan berpengalaman mengendalikan kenderaan ber­kenaan di dalam hutan.

LORAT yang ditubuhkan pada tahun 2011 menjalankan aktiviti pengembaraan di dalam hutan dengan menaiki kenderaan 4×4 dan pada masa sama, menggerakkan misi bantuan kemanusiaan kepada golongan sasar.

“Ahli kami berumur 18 tahun ke atas dan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang serta berlainan negeri,” katanya yang merupakan pesara tentera.

Selain menganjurkan ekspedisi di dalam hutan, kelab itu juga menjalankan misi kemanusia seperti membantu masyarakat Orang Asli serta pernah terlibat menghulurkan bantuan ketika banjir besar di Kelantan pada tahun 2014 dan 2015.

Selain ahli tetap, LORAT juga mempunyai lebih 3,000 rakan yang se­ring menyertai mereka menjelajah hutan.

Jelas Zolkafli, mereka yang mengikut ekspedisi anjuran kelab berkenaan mempunyai pelbagai tujuan, termasuk mahu merasai pengalaman berada di dalam hutan tebal, mencabar keupayaan diri dan membuat kajian mengenai tumbuh-tumbuhan.

Untuk itu jelasnya, LORAT memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk tinggal di hutan selama tiga hari dua malam.

LALUAN yang mencabar memberi kepuasan kepada mereka yang betul-betul minat menyertai pengembaraan menggunakan kenderaan 4×4.

“Kami akan menguruskan semuanya termasuk permit, kenderaan, makan minum serta khemah dengan bayaran RM350 untuk tempoh tersebut,” ulasnya yang berasal dari Lenggong, Perak.

Tambah bapa kepada lima cahaya mata itu, pihaknya juga memberi peluang kepada peserta yang ingin membawa sendiri kenderaan 4×4 masing-masing sepanjang pengembaraan tersebut.

Bercerita mengenai detik-detik mencabar membawa kenderaan 4×4 di dalam hutan, tegas Zolkafli, antaranya ketika menuruni bukit pada waktu hujan.

Pada ketika itu, ujarnya, jalan menjadi sangat licin dan memerlukan kemahiran untuk mengendalikan kenderaan.

Justeru, katanya, dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan peserta dan membantu mereka sepanjang ekspedisi.

Sementara itu, salah seorang ahli LORAT, Ahmad Rizal Rahmanuddin, 37, memberitahu, kepuasan melepaskan halangan di setiap laluan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Laluan di sepanjang jalan dalam hutan akan berubah setiap masa. Kita tidak boleh meramal apa bakal di tempuhi.

“Paling membuatkan hati saya tertarik untuk menyertai aktiviti ini adalah kerjasama antara pasukan dan hubu­ngan antara mereka seperti keluarga sendiri,” katanya yang turut mengikuti kejohanan sukan lasak 4×4 di dalam dan luar negara.

Ujar Ahmad Rizal yang juga salah seorang jurulatih kursus pemanduan kenderaan 4×4, LORAT sering dijemput agensi swasta dan kerajaan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan ekspedisi yang dijalankan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI