fbpx

5 lelaki ditahan samun warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seramai lima lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun membabitkan warga asing ditahan di dua buah rumah sekitar Taman Medan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang pengawal keselamatan berhubung kejadian pada 27 Mei lalu.

“Berdasarkan laporan, pada 26 Mei lalu, seramai tujuh lelaki disyaki warga tempatan yang menaiki empat buah motosikal dengan bersenjatakan dua bilah pisau telah ke rumah pengadu.

“Salah seorang suspek telah mengambil sebatang kayu cota milik pengadu dan mengugut mahu mencederakan mangsa serta rakan-rakan di rumah tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, suspek telah mengambil telefon milik mangsa dan rakan-rakannya membabitkan kerugian bernilai kira-kira RM2,500.

“Bertindak atas maklumat, lima lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun telah ditahan di sekitar Petaling Jaya.

“Kesemua suspek juga mengaku terlibat dalam lima kes samun dan curi motosikal dalam daerah Petaling Jaya serta satu kes di Subang jaya,” jelasnya.

Tambahnya, semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Salah seorang suspek mempunyai 24 rekod jenayah lampau membabitkan dadah(13) dan jenayah(11). Suspek juga mempunyai tiga rekod Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan menggunakan senjata,” jelasnya.

Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan. Usaha memburu dua rakan suspek masih giat dijalankan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI