PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 28 lagi kes varian baharu virus SARS-CoV-2 terdiri daripada 25 kes Variant of Concern (VOC) manakala tiga kes lagi Variant of Interest (VOI).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes varian baharu tersebut dikesan bermula 23 Jun hingga semalam.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 kes yang dikesan ialah varian Delta (B.1.617.2), lima kes varian Beta (B.1.351), tiga kes varian Kappa (B.1.617.1) dan dua kes varian Alpha (B.1.1.7).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 217 kes,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambah beliau, daripada jumlah 217 kes yang dikesan sehingga kini, sebanyak 198 kes adalah VOC manakala, 19 kes pula adalah VOI. -K! ONLINE