SHAH ALAM – Tiga anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) selepas disyaki terlibat meminta dan menerima rasuah RM2,000 kononnya bagi mengelakkan seorang individu dikompaun kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut sumber, kesemua suspek berpangkat Lans Koperal dan Konstabel berusia 26 hingga 31 tahun terlebih dahulu ditahan pukul 6 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor.
Bagaimanapun, difahamkan mereka akan dibebaskan petang ini selepas keterangan diambil pihak SPRM Selangor.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 25 Jun lalu ketika ketiga-tiga suspek mendekati seorang individu yang sedang menjalankan kerja-kerja mengalihkan batu-bata dari lori kren ke rumah kakaknya yang sedang dalam pembinaan di Shah Alam.
“Salah seorang daripada suspek telah meminta dan menerima wang tunai daripada individu tersebut agar kerja-kerja yang dilakukan individu terbabit tidak diadukan kepada Pegawai Pemantau Polis.
“Ini bagi mengelakkan tindakan kompaun sebanyak RM20,000 hingga RM50,000 disebabkan menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – K!ONLINE.