KUALA NERANG – Polis Kedah setakat ini tidak mengesan sebarang cubaan atau tindakan pihak tertentu untuk melakukan demonstrasi Black Democracy di negeri ini hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemantauan yang dilakukan di seluruh negeri ini mendapati tidak berlaku sebarang demonstrasi yang boleh menggugat keamanan negara.
“Pemantauan telah dilakukan terutama di lokasi-lokasi yang dijangka dilakukan demonstrasi seperti istana, masjid dan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP).
“Mengikut maklumat diperoleh, tidak ada perkara (demonstrasi) itu berlaku,” katanya selepas membuat tinjauan di lokasi seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Pai di sini hari ini.
Namun begitu, kata beliau, pemantauan dan rondaan akan terus dilakukan oleh lebih 10 pasukan khas dan 280 pasukan pemantau Op Covid-19 di seluruh negeri ini.
“Kita harap tiada yang cuba keluar tanpa tujuan kerana tindakan tegas mengikut Akta 342 akan diambil terhadap mereka,” ujarnya. – K! ONLINE