TAMPIN – Seorang wanita yang kali pertama bergelar ibu terpaksa menanggung rindu terhadap bayinya yang dilahirkan pada 19 Jun lalu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah kerana dijangkiti Covid-19.
Yusni Mohd Yusuff, 35, berkata, dia hanya sempat memeluk bayinya, Muhammad Izzulfaqar Amsyar sekejap sahaja sebelum disahkan dijangkiti Covid-19.
Wanita itu dan suaminya, Nor Izuan Nasib, 33, merupakan kontak rapat pesakit Covid-19.
“Saya rasa sedih tetapi doktor nasihatkan supaya sentiasa berfikiran positif dan menjaga emosi sebab baru melahirkan anak.
“Saya sempat melihat kulit bayi putih bersih sahaja. Pada ketika itu, saya mampu berdoa agar bayi kami bebas dari jangkitan wabak ini dan selamat ketika dirawat di wad kanak-kanak HTAN,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Rokan Utara (FBRU) di sini tadi.
Menurut Yusni, selepas disahkan positif Covid-19, dia kemudian dipindahkan ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut manakala bayinya pula ditempatkan di HTAN.
Jelas wanita itu, bayinya kini dijaga oleh abangnya, Azman Mohd Yusuff, 52, dan kakak iparnya, Latifah Yazied di Rembau kerana suaminya masih lagi menjalani kuarantin wajib di rumah sehingga 2 Julai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929