PETALING JAYA – Lain orang, lain situasinya.
Pandemik ternyata memberi kesan yang cukup kuat buat semua orang.
Biarpun tidak terjejas secara fizikal, pelakon Anzalna Nasir meluahkan, hatinya pasti terhimpit kesayuan memikirkan situasi golongan terjejas setiap kali melihat meja yang dipenuhi makanan.
Kata bekas finalis Dewi Remaja 2009/2010 itu, perasaan tersebut hadir apabila menyaksikan banyak berita tentang kehidupan rakyat Malaysia yang kini berdepan pelbagai tekanan hidup kerana pandemik Covid-19.
Susulan itu, dia menyeru orang ramai yang berkemampuan terus menghulurkan bantuan kepada mana-mana pihak kini berada dalam kesusahan.
“Setiap kali tengok meja yang penuh dengan makanan mesti terfikir akan mereka yang kurang bernasib baik. Dalam keadaan sekarang, jangan lupa mereka yang memerlukan kita.
“Sekiranya ada rezeki lebih, jangan lupa hulurkan. Jangan fikir tentang kandungan untuk media sosial sahaja! Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita,” katanya dalam InstaStory.
Dalam hantaran lain, Anzalna memberitahu pandemik Covid-19 tidak memberikan impak besar kepada kehidupan sehariannya kerana dia berpeluang menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.
Ujar pemilik nama lengkap Nur Anzalna Md Nasir, 33, dia juga bersyukur kerana PKP tidak begitu menjejaskan aturan kehidupan sehariannya yang memang suka berada di rumah.
“Nasib baik saya memang sejenis yang suka duduk rumah dan bukan suka melepak, jadi tidak terasa sangat. PKP atau tidak, sama sahaja kehidupan.
“Ya, kehidupan saya kedengaran bosan sangat tetapi sebenarnya sangat seronok kerana boleh menghabiskan masa bersama keluarga,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Mohamad Eidrees,2, itu.
Pelakon Memori Cinta Suraya itu turut melahirkan kerisauan terhadap angka kematian dan kes bunuh diri yang semakin meningkat ketika ini.
“Sekarang ini risau lihat kes positif dan angka kematian mangsa Covid-19 meningkat serta kes bunuh diri bertambah kerana tekanan.
“Semoga kita semua dijauhi daripada penyakit berjangkit ini,” katanya.
Untuk rekod, kes baharu positif Covid-19 semalam dilaporkan sebanyak 6,473 manakala 107 direkodkan sebagai kes kematian baharu. – K! ONLINE